Pensyarah Bantu Pelajar Beli ‘Laptop’ Siapkan Tesis Akhir
PETALING JAYA – Seorang pensyarah telah menubuhkan satu dana
bagi membantu pelajarnya memiliki sebuah komputer riba bagi kemudahan
pembelajarannya.
Ketua Program Komunikasi Media, Fakulti Sains Sosial dan
Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Wan Amizah
Wan Mahmud berkata, dia melakukan pendanaan awam atau ‘crowdfunding’ dalam
kalangan pensyarah di pusat pengajiannya.
“Kutipan tersebut berjaya mengumpulkan sejumlah RM1,000, tak
kira bangsa dalam kalangan pensyarah, semua dermawan dan pemurah dan menjadi
kebiasaan pada awal semester untuk buat kutipan bantu pelajar,” katanya ketika
dihubungi Kosmo! hari ini.
Terbaharu, satu ciapan yang dikongsikan oleh seorang
graduan, Aira di Twitter menceritakan kisah Dr. Wan Amizah yang membantunya
membeli sebuah komputer riba kerana bagi memudahkannya menyiapkan tugasan
tesis.
Mengulas lanjut, Dr. Wan Amizah memaklumkan pelajar tersebut
merupakan daripada keluarga golongan berpendapatan rendah (B40) dan tidak
mempunyai wang belanja yang mencukupi.
“Komputer riba pelajar tersebut rosak dan bila pergi kedai,
katanya dah rosak teruk, tak boleh dibaiki semula, kemudian saya tawarkannya
untuk guna komputer riba saya apabila dah pulang ke UKM semula.
“Tapi sehari sebelum balik kampus, semua pelajar diarahkan
pulang, jadi pelajar ini tak dapat balik kampus dan saya tak dapat pinjamkan
dia komputer riba,” ujarnya.
Sehubungan itu, dia terus bertindak membuat kutipan derma
dalam kalangan pensyarah di fakulti agar dapat memberi sumbangan kepada pelajar
berkenaan dengan jumlah sebanyak RM300.
“Dia usahakan untuk beli komputer riba yang ‘secondhand’
guna duit RM300 itu dan saya tanya berapa kos sebenarnya dan dia kata RM700,
jadi saya kirimkan lagi RM400 seperti mana yang dikongsinya di Twitter.
“Alhamdulillah, yang penting asalkan dia boleh siapkan tesis
dia dan baki dari kutipan derma, saya agihkan kepada pelajar lain yang juga
hadapi masalah dengan komputer riba mereka masing-masing,” jelasnya.
Katanya lagi, dia amat menyayangi setiap pelajarnya dan
menganggap mereka seperti anak sendiri dan menyatakan sebagai pensyarah
mestilah selalu mendoakan buat pelajar mereka serta membantu secara rela
sebagai saham akhirat kelak.
– KOSMO! ONLINE
0 Response to "Pensyarah Bantu Pelajar Beli ‘Laptop’ Siapkan Tesis Akhir"