Penjawat Awam Dapat Bantuan Aidilfitri RM500 - PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Penjawat awam gred 56 dan ke
bawah menikmati durian runtuh apabila kerajaan mengumumkan Bantuan Khas
Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
bantuan tersebut turut dinikmati oleh kakitangan di bawah skim kontrak
perkhidmatan, contract for service, pegawai sambilan harian serta lantikan di
bawah MySTEP.
Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas RM250
kepada pesara kerajaan, katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Menurutnya, pembayaran tersebut akan dibuat pada 25 April
ini bersekali dengan pembayaran gaji.
Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923
juta dan akan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara, katanya.
Beliau berkata, pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan
Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah
keprihatinan kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan
persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan
penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada
Keluarga Malaysia.
Kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas ini dapat
meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai
pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi, katanya.
Sumber: sinarharian
0 Response to "Penjawat Awam Dapat Bantuan Aidilfitri RM500 - PM"