Pengeluaran Khas: Ini Maksud Ganti Semula Amaun Pengeluaran & Tambahan 20 Peratus
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan bahawa
ahli yang ingin mengeluarkan simpanan KWSP di bawah kemudahan Pengeluaran Khas
boleh berbuat demikian melalui portal yang disediakan bermula 1 hingga 30 April
2022.
Jika anda lihat di laman web rasmi KWSP, ada beberapa
senarai soalan lazim yang ramai mungkin sudah mengetahuinya. Namun begitu, jika
anda perasan, pada soalan ke 15 ada menyentuh tentang penggantian semula amaun
pengeluaran.
Tahukah anda bahawa pengeluaran simpanan KWSP melalui
Pengeluaran Khas ini perlu diganti semula? Apa yang dimaksudkan dengan diganti
semula? Adakah pencarum perlu ‘membayar’ kembali duit yang dikeluarkan? Macam
berhutang ke?
Bagi menjawab persoalan-persoalan diatas. Jom baca
pencerahan daripada pihak KWSP di bawah.
Apakah yang dimaksudkan dengan penggantian semula amaun
pengeluaran?
Ahli perlu menggantikan semula semua amaun yang dikeluarkan
di bawah Pengeluaran Khas dengan tambahan 20%. Ilustrasi amaun penggantian
semula adalah seperti berikut:
Seperti penjelasan daripada KWSP, caruman baharu yang
diterima selepas ini akan dikreditkan 100% ke dalam Akaun 1 termasuklah
tambahan 20% lagi daripada amaun yang telah dikeluarkan.
Setelah penggantian semula selesai, caruman ahli akan
kembali seperti biasa (70% ke dalam Akaun 1 dan 30% ke dalam Akaun 2).
Ringkasnya, pencarum sebenarnya hanya ‘membayar’ semula
pengeluaran khas ini melalui caruman bulanan yang dibuat selepas ini.
Caruman-caruman akan datang akan dimasukan kesemua ke Akaun 1 sehingga amaun RM
12,000 dicapai, barulah pembahagian seperti sebelumnya diantara Akaun 1 dan
Akaun 2 dibuat semula.
Mungkin ramai yang bertanyakan tentang rasional penggantian
semula serta tambahan 20% daripada amaun pengeluaran bukan? Ini jawapan yang
diberikan oleh pihak KWSP.
Rasional bagi menggantikan semula amaun yang telah
dikeluarkan adalah untuk memastikan ahli mempunyai simpanan selepas persaraan.
Tambahan 20% yang ditetapkan adalah berdasarkan anggaran kehilangan/ kerugian
dividen (opportunity loss) ke atas jumlah pengeluaran tersebut dengan purata 5%
dividen tahunan. Hal ini demikian kerana ahli dijangka akan mengambil masa
antara empat hingga enam tahun bagi mengembalikan amaun pengeluaran sepenuhnya.
Ini bertujuan untuk memastikan simpanan dapat dibina semula
dengan cepat dan memanfaatkan gandaan dividen, selain mengimbangi antara
keperluan mendesak semasa dan simpanan masa hadapan.
Seperti yang kita tahu, Pengeluaran Khas ini bertujuan untuk
membantu ahli yang masih terkesan dengan pandemik untuk memenuhi keperluan
mendesak hari ini. Bagaimanapun, KWSP mengingatkan semua ahlinya supaya
mempertimbangkan jaminan pendapatan mereka pada masa akan datang.
Sumber: KWSP
0 Response to "Pengeluaran Khas: Ini Maksud Ganti Semula Amaun Pengeluaran & Tambahan 20 Peratus"