Malaysia Terima Al-Quran, Kurma Sumbangan Raja Arab Saudi - PM
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerima
al-Quran dan kurma pemberian Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud
disampaikan Duta Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan
di Putrajaya hari ini. - Foto ihsan FB Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud
akan menyumbang 46,000 naskhah al-Quran terjemahan Bahasa Melayu kepada masjid
dan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara sempena Ramadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri dalam catatan di
Facebook memaklumkan Penjaga Dua Masjid Suci itu turut menyumbang sebanyak 57
tan kurma untuk diagihkan kepada seluruh rakyat Malaysia sempena bulan mulia
itu.
"Saya menganggap hadiah terjemahan Al-Quran ke dalam
Bahasa Melayu ini tanda persahabatan Malaysia dan Arab Saudi yang sangat
istimewa terutama dalam hasrat Malaysia untuk memartabatkan Bahasa Melayu
sebagai Bahasa ASEAN.
"Terima kasih saya ucapkan kepada Raja Salman Abdulaziz
Al-Saud serta kerajaan Arab Saudi atas hadiah yang diberikan," katanya dan
berharap ikatan diplomasi antara kedua-dua negara yang telah terjalin sekian
lama akan terus kukuh dan berterusan.
Dalam catatan itu, perdana menteri berkongsi beliau turut
menerima al-Quran dan kurma pemberian Raja Salman yang disampaikan Duta Arab
Saudi ke Malaysia Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan, di pejabatnya di
Putrajaya hari ini.
– BERNAMA
0 Response to "Malaysia Terima Al-Quran, Kurma Sumbangan Raja Arab Saudi - PM"