Lanjut Umur Bersara Hingga 62 Tahun Ganti Pengeluaran KWSP
PETALING JAYA – Kerajaan dicadangkan untuk mengkaji semula
umur persaraan bagi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi
menggantikan semula wang persaraan yang telah dikeluarkan oleh sebahagian
pencarum semasa pandemik Covid-19.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti
Putra Malaysia, Profesor Madya Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata, umur
persaraan yang ditetapkan oleh KWSP iaitu pada 55 tahun atau 60 tahun itu
mungkin boleh dilanjutkan sehingga 62 tahun bagi menambah wang persaraan yang
telah dikeluarkan ketika ini.
“Pengeluaran KWSP pada ketika ini jika dilihat dalam konteks
rakyat, memang akan berlaku kekurangan dari segi simpanan semasa bersara.
“Namun, disebabkan keadaan pasca Covid-19 ketika ini, ramai
yang berada dalam proses pemulihan maka di sini memang ada keperluan untuk
rakyat mengeluarkan caruman mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini
baru-baru ini.
Katanya, musim persekolahan yang bermula pada bulan ini juga
dipercayai akan menjadi penyebab utama pencarum mengeluarkan simpanan KWSP
mereka.
Jelasnya, melalui pengeluaran yang dibuat sepanjang wabak
Covid-19 melanda, sudah tentu simpanan untuk persaraan tidak lagi mencukupi
maka amat penting untuk diperhalusi umur persaraan tersebut bagi menggantikan
simpanan yang telah dikeluarkan.
“Orang ramai juga diingatkan supaya gunakan simpanan KWSP
mereka dengan berhemah kerana kita tidak tahu apa lagi krisis yang bakal
mendatang.
“Sedangkan Covid-19 ini juga belum lagi berakhir sepenuhnya,
menyebabkan kita tidak tahu apa akan jadi pada masa akan datang dan ketika ini
sahaja memang negara amat terkesan,” ujarnya.
Katanya, justeru itu amat penting agar pencarum tidak sesuka
hati mengeluarkan simpanan persaraan mereka untuk tujuan yang tidak perlu.
“Inilah masanya untuk menggunakan wang persaraan yang
dikeluarkan itu untuk perkara yang benar-benar penting sahaja,” katanya.
1 April KWSP membenarkan pengeluaran khas RM10,000 bagi
membantu pencarum meringankan beban mereka yang terkesan akibat pandemik
Covid-19.
- Kosmo
0 Response to "Lanjut Umur Bersara Hingga 62 Tahun Ganti Pengeluaran KWSP"