KWSP Terima 5.3 Juta Permohonan Pengeluaran Khas
KUALA LUMPUR - Kumpulan
Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah menerima 5.3 juta permohonan bagi kemudahan
Pengeluaran Khas sejak dibuka bermula 1 April sehingga Khamis lalu.
KWSP dalam satu kenyataan
pada Jumaat memaklumkan, amaun pengeluaran yang terlibat berjumlah RM40.1
bilion akan dibayar secara berperingkat bermula 20 April ini.
Menurutnya, jumlah
permohonan yang diterima merangkumi 44 peratus daripada 11.95 juta ahli yang
layak untuk membuat pengeluaran di bawah kemudahan ini.
“Mengikut pengkelasan gaji,
ia mewakili 55 peratus golongan B40 yang layak iaitu yang berpendapatan kurang
daripada RM1,700, 59 peratus M40 (RM1,701 hingga RM4,900) dan 39 peratus T20
(berpendapatan melebihi RM4, 900).
“Sebanyak 29 peratus ahli
tidak formal dan tidak aktif juga telah memohon. Kaum bumiputera Melayu
merangkumi jumlah pemohon mengikut kaum tertinggi iaitu 65 peratus, diikuti
oleh kaum Cina 12 peratus dan kaum India 7 peratus.
“Jumlah 17 peratus
selebihnya adalah terdiri daripada kaum bumiputera Sabah dan Sarawak serta
bukan warganegara,” menurut kenyataan berkenaan.
KWSP memaklumkan,
berdasarkan maklum balas daripada ahli yang memohon kemudahan itu, tiga sebab
utama permohonan adalah mengalami pengurangan pendapatan iaitu sebanyak 24
peratus, diikuti membantu pasangan atau ahli keluarga yang terjejas kewangan
sebanyak 23 peratus dan menambah sumber kewangan dengan 14 peratus.
Sejumlah 40 peratus
daripada permohonan pengeluaran itu dibuat adalah bagi menampung perbelanjaan
keperluan asas harian dan bulanan, 26 peratus bagi membayar tunggakan hutang
dan lapan peratus adalah bagi menambah simpanan dan dana kecemasan.
“Selain itu, ada
permohonan yang dibuat bagi membantu ahli keluarga yang terjejas kewangan iaitu
tujuh peratus dan selebihnya adalah untuk tujuan-tujuan lain seperti membayar
pendidikan anak-anak, perbelanjaan lain dan pelaburan,” jelas kenyataan itu.
Tarikh tutup untuk
kemudahan Pengeluaran Khas adalah pada 30 April depan dan ahli boleh memohon
melalui portal pengeluarankhas.kwsp.gov.my.
KWSP turut menegaskan,
setiap aspek keselamatan telah diambil bagi mengelakkan pihak ketiga yang tidak
bertanggungjawab atau ‘scammers’ daripada membuat permohonan palsu dan
menjejaskan simpanan ahli.
“KWSP juga ingin
menasihatkan ahli untuk tidak berkongsi gambar atau dokumen berkaitan
Pengeluaran Khas mereka di platform media sosial, dan berhati-hati apabila
mengeluarkan wang mereka bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan dan
aktiviti scam.
“Ahli juga perlu
mempertimbangkan ketersediaan pendapatan jangka panjang mereka dan hanya
mengeluarkan simpanan mereka sekiranya benar-benar perlu dan membelanjakan wang
mereka dengan bijak serta untuk tujuan yang sesuai,” katanya.
Maklumat
lanjut mengenai kemudahan Pengeluaran Khas boleh didapati di ‘Ask ELYA’ dalam
laman web KWSP di www.kwsp.gov.my, Facebook, Twitter dan Instagram KWSP, atau
menghubungi Hotline Pengeluaran Khas di 03-8922 4848.
0 Response to "KWSP Terima 5.3 Juta Permohonan Pengeluaran Khas"