[TERKINI]~Keputusan Baik Perdana Menteri Untuk Rakyat
SELEPAS pengumuman pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan
Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 pada 16 Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri
Ismail Sabri Yaakob sekali lagi telah mengumumkan berita baik untuk rakyat.
Pada 5 April, kerajaan telah mengumumkan Bantuan Khas
Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.
Kerajaan juga bersetuju memberi bantuan khas RM250 kepada
pesara kerajaan. Pembayaran bagi bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan
pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April ini.
Keputusan itu dilihat salah satu usaha kerajaan menghargai
jasa dan khidmat penjawat awam serta pesara kerajaan.
Berita baik itu pastinya memberi nafas lega khususnya bagi
membantu meringankan beban persiapan Aidilfitri untuk keluarga berpendapatan
rendah.
Aidilfitri kali ini dijangka lebih meriah kerana sudah dua
tahun berturut-turut anak perantau tidak dapat beraya di kampung.
Pemberian bantuan khas tersebut selari dengan niat kerajaan
membantu rakyat menerusi pengeluaran khas KWSP yang amat diperlukan pencarum
untuk membayar hutang pinjaman.
Berdasarkan tinjauan Sinar Harian terhadap 10 pencarum,
rata-rata mengakui perlu membayar tunggakan pinjaman bank, hutang pinjaman
daripada rakan dan sebagainya.
Pada ketika ini, kehidupan rakyat memang berada dalam
keadaan yang sukar. Ini kerana kesan daripada pandemik Covid-19 yang melanda
seluruh dunia sejak dua tahun lalu.
Peperangan antara Rusia dan Ukraine juga memberi kesan
kepada kita semua apabila harga minyak dunia meningkat dan harga barang juga
melambung tinggi.
Berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan, Indeks Harga
Pengguna (IHP) pada Februari lalu meningkat 2.2 peratus.
Rakyat mengeluh apabila mereka terpaksa membeli barang pada
harga yang tinggi. Segala-galanya naik pada ketika ini. Yang turun hanyalah air
hujan sahaja.
Perkara yang paling menyedihkan kita pada ketika ini ialah
tentang kehidupan rakyat yang hidup miskin. Harap nasib mereka terus dibela.
- Sinarharian
0 Response to "[TERKINI]~Keputusan Baik Perdana Menteri Untuk Rakyat"