Jumlah Pengeluaran Khas Terkini KWSP Dijangka Lebih Rendah
KUALA LUMPUR: Skim pengeluaran khas terbaharu Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka lebih rendah berbanding program terdahulu
memandangkan ramai ahli berkemungkinan tidak mempunyai jumlah mencukupi untuk
membuat pengeluaran penuh yang dibenarkan.
Ahli Ekonomi CGS-CIMB, Nazmi Idrus, berkata orang ramai juga
dilihat semakin kurang memerlukan sokongan kewangan, ditambah pula dengan
jangkaan pulangan pelaburan yang baik pada masa hadapan berikutan prestasi
mantap KWSP tahun lalu.
Beliau berkata, pengeluaran khas KWSP yang diumumkan
baru-baru ini adalah sesuatu yang mengejutkan, memandangkan langkah yang
diambil sebelum ini adalah ketika sekatan pergerakan dilaksanakan, manakala
pengeluaran terbaharu dibuat di tengah-tengah pemulihan ekonomi.
Sehubungan itu, beliau menjangkakan jumlah pengeluaran lebih
rendah antara RM15 bilion hingga RM20 bilion disebabkan jumlah dana ahli yang
terhad.
Bagaimanapun, katanya, jumlah itu boleh menambah sehingga 45
mata asas (bps) kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.
"Dari segi jangka panjang, jumlah simpanan lebih tinggi
yang diperlulan untuk membina penampan boleh memberi kesan kepada perbelanjaan
masa depan.
"Krisis persaraan yang lebih buruk boleh menyebabkan
peningkatan usia persaraan," katanya.
Nazmi berkata, bagi membina semua simpanan, semua caruman
KWSP akan pergi kepada Akaun 1 sehingga semua jumlah yang dikeluarkan dapat
digantikan.
Katanya, ini menyebabkan kekurangan dana dalam Akaun 2, yang
dibina untuk tujuan lain seperti pendidikan atau pembelian hartanah, sehingga
boleh menjejaskan perbelanjaan dan pelaburan masa hadapan.
Selain itu, katanya, kegagalan mencapai simpanan asas penuh
bermakna negara mungkin tidak dapat mempersiapkan secukupnya krisis persaraan
yang dipanggil 'silver tsunami'.
"Akibatnya, kerajaan mungkin terpaksa menaikkan usia
persaraan untuk terus membina semula simpanan simpanan ahli dan mengurangkan
kos untuk menyokong golongan warga emas. Kegagalan berbuat demikian akan
menyaksikan kerajaan berdepan nisbah hutang berbanding KDNK lebih tinggi.
"Di samping itu, terdapat juga risiko kepercayaan
terhadap KWSP terhakis kerana kurangnya perlindungan dana daripada pengaruh
politik, yang dilihat sebagai satu kelemahan dalam organisasi, sekali gus
memberikan implikasi lebih besar dalam pasaran kewangan," katanya.
- Bharian
0 Response to "Jumlah Pengeluaran Khas Terkini KWSP Dijangka Lebih Rendah"