ePemula: E-tunai RM150, Boleh Daftar Mulai Esok
Kuala Lumpur: Golongan belia berusia 18 hingga 20 tahun dan
pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak,
boleh mendaftar untuk menerima RM150 dalam bentuk kredit e-tunai di bawah
program ePemula, mulai esok.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan, hari ini,
memaklumkan kredit e-tunai itu adalah melalui satu daripada empat penyedia
perkhidmatan iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan Touch 'n Go eWallet.
"Selain RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada
kerajaan, penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, GrabPay, ShopeePay dan
Touch 'n Go eWallet juga akan memberi insentif tambahan dalam bentuk cashback,
baucar, mata terkumpul atau coins sepanjang tempoh program ini," katanya.
Menurut kenyataan itu, tempoh pendaftaran dan tuntutan
ePemula akan bermula esok hingga 1 Jun ini, manakala kredit ePemula serta
manfaat padanan daripada penyedia perkhidmatan e-tunai itu boleh dibelanjakan
sehingga 10 Jun 2022.
Menurut MOF, ePemula akan dilancarkan secara rasmi oleh
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 15 April.
Program ePemula terbuka kepada warganegara Malaysia yang
mencapai umur 18 ke 20 tahun pada 2022 (lahir pada 2002 hingga 2004) atau
pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 4
(SKM4) dan ke atas di IPT tempatan yang berdaftar, selain data belia akan
disemak silang dengan IPT tempatan berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang
berkenaan.
Menurut MOF, kerajaan memperuntukkan RM300 juta bagi e-tunai
bernilai RM150 di bawah program ePemula untuk belia 18 hingga 20 tahun dan
pelajar sepenuh masa di IPT tempatan yang layak menerusi Belanjawan 2022.
Untuk maklumat lanjut mengenai ePemula serta inisiatif lain
yang memanfaatkan golongan belia boleh layari
https://budget.mof.gov.my/manfaat/faq/epemula.html manakala bagi pelbagai
manfaat lain khusus untuk belia, layari
https://budget.mof.gov.my/manfaat/rakyat-kewangan.html
- Bernama
0 Response to "ePemula: E-tunai RM150, Boleh Daftar Mulai Esok"