Ahmad Zahid Fail Saman Fitnah Terhadap Muhyiddin Berhubung Penyelesaian Kes Jenayah
KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi memfailkan saman fitnah terhadap bekas Perdana Menteri Tan
Sri Muhyiddin Yassin berhubung dakwaan beliau ada meminta bantuan untuk
menyelesaikan atau menangguhkan perbicaraan kes jenayah yang masih berjalan di
mahkamah.
Berdasarkan pernyataan tuntutan yang diperoleh menerusi
carian sistem mahkamah, Ahmad Zahid berkata pada 19 Okt 2018, beliau telah
dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, bagi 12 pertuduhan melibatkan pecah amanah,
lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dan kesemua
pertuduhan tersebut telah dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Ahmad Zahid mendakwa defendan (Muhyiddin) telah mengeluarkan
kenyataan-kenyataan fitnah dengan niat jahat terhadapnya pada majlis Pentas
Perikatan Nasional Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenggaroh, Mersing sempena
Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15 di perkarangan Learning Centre Sentuhan
Kasih Felda Tenggaroh 3 di Mersing pada 16 Feb lepas.
"Pada hari yang sama, rakaman video mengenai kenyataan
fitnah pada majlis tersebut telah diterbitkan semula secara langsung di akaun
YouTube Astro AWANI yang dikendalikan oleh portal berita dalam talian popular
iaitu Astro AWANI berdurasi dua jam 35 minit dan lapan saat (2:35:08) yang
boleh diakses melalui internet," dakwa Ahmad Zahid dalam pernyataan
tuntutan saman itu.
Dakwa plaintif, setakat tarikh writ saman dan pernyataan
tuntutan itu difailkan, rakaman video majlis tersebut telah mendapat jumlah
tontonan sebanyak 29,752 tontonan dan akaun Youtube Astro AWANI mempunyai 1.44
juta pelanggan selain rakaman video itu telah dilaporkan secara meluas melalui
pelbagai medium media sosial iaitu KiniTV, Facebook Page 'Perikatan Nasional',
portal Malaysiakini dan Utusan Malaysia pada 16 dan 17 Feb lepas.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu mendakwa kenyataan fitnah
tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau telah menggunakan jalan pintas
untuk menyelesaikan dan menangguhkan perbicaraan kes jenayahnya yang masih
berjalan, meminta pertolongan Muhyiddin untuk mencampuri urusan perbicaraan kes
berkenaan, mencampuri sistem kehakiman, mengarahkan pembubaran Dewan Undangan
Negeri Johor dan bukan seorang pemimpin yang patut dihormati, diteladani serta
disegani.
Ahmad Zahid menegaskan kenyataan-kenyataan fitnah itu adalah
palsu bertujuan untuk menjatuhkan reputasi dan nama baiknya selain mendakwa
kenyataan fitnah berkenaan dikeluarkan oleh defendan selepas pengumuman
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkenaan PRN Johor.
"Oleh yang demikian, kenyataan-kenyataan fitnah itu
adalah jelas dikeluarkan dengan niat jahat sebagai alat untuk mempengaruhi dan
memberikan reputasi buruk serta negatif kepada plaintif selaku pemimpin
tertinggi parti Barisan Nasional yang secara tidak langsung memberikan imej
buruk kepada parti berkenaan yang bertanding di dalam PRN Johor," dakwa
plaintif.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk
dan teladan, faedah, serta perintah mengarahkan defendan menerbitkan permohonan
maaf yang tidak bersyarat secara bertulis di surat khabar yang akan ditentukan
oleh plaintif selain menuntut kos dan lain-lain perintah yang difikirkan sesuai
oleh mahkamah.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut memfailkan notis permohonan
ex-parte (sebelah pihak) supaya defendan atau wakilnya menarik balik
kenyataan-kenyataan fitnah tersebut atau kenyataan fitnah serupa terhadapnya.
Plaintif juga memohon perintah injunksi interim untuk
menghalang defendan, pegawai dan pembantunya serta ejen dan wakilnya daripada
mengeluarkan, menerbitkan, mengedarkan atau menyebarkan kenyataan fitnah
berkenaan atau kenyataan fitnah serupa di mana-mana platfom media sosial
termasuk Facebook, Instagram, Twitter dan WhatsApp.
Turut dipohon perintah injunksi interim bagi mengarahkan
defendan memadam, menyunting dan menghentikan penerbitan sebahagian rakaman
video majlis itu yang mengandungi kenyataan memfitnah di dalam portal-portal
berita dalam talian dan sosial media antaranya di Facebook profil 'Perikatan
Nasional', YouTube Astro AWANI dan KiniTV.
Selain itu, plaintif juga memohon perintah injunksi interim
mengarahkan defendan menulis kepada mana-mana penerbit, penyunting, pengendali
dan pemilik portal-portal berita dalam talian atau platform media sosial yang
menerbitkan kenyataan fitnah itu supaya memadamkan dan menghentikan penerbitan
kenyataan fitnah berkenaan.
Pendengaran permohonan ex-parte itu akan didengar esok di
hadapan Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff melalui sidang video.
-- BERNAMA
0 Response to "Ahmad Zahid Fail Saman Fitnah Terhadap Muhyiddin Berhubung Penyelesaian Kes Jenayah"