ADUN Kelantan Rugi RM84,529 Ditipu 'Pegawai LHDN', 'Polis'


 

KOTA BHARU - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelantan kerugian RM84,529 selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai 'pegawai' Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan anggota polis bergelar Datuk pada Sabtu lalu.

 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Kelantan, Asisten Komisioner Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 56 tahun itu pada mulanya telah menerima panggilan dari seorang lelaki memperkenalkan diri sebagai pegawai operasi cukai LHDN di Melaka.

 

"'Pegawai' tersebut kemudian memaklumkan bahawa mangsa mempunyai satu kes tunggakan bayaran cukai berjumlah RM52,900.78," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

 

Menurutnya, cukai tersebut disebabkan oleh wang tunai berjumlah RM200,000 yang dikatakan telah masuk ke dalam akaun sebuah syarikat yang didakwa milik mangsa, ADUN berkenaan bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

 

Beliau berkata, pegawai LHDN itu seterusnya menyuruh mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka jika dakwaan itu tidak benar dan panggilan itu kemudian kononnya telah disambungkan ke kaunter aduan IPK Melaka.

 

Mohd Wazir berkata, selepas itu pengadu sekali lagi telah diminta untuk mengesahkan bahawa segala permindahan wang tersebut adalah tidak benar.

 

"Panggilan itu kemudian telah disambung kepada seorang wanita bergelar Datuk yang mendakwa dari Jabatan Siasatan Jenayah Kormesial (JSJK )/ Pengubahan Wang Haram (AMLA) IPK Melaka.

 

"Semasa perbualan itu, wanita ini telah meminta mangsa untuk mengesahkan akaun milik pengadu dengan mengisi 'link' Bank Negara Malaysia (BNM) melalui aplikasi WhatsApp," katanya.

 

Menurutnya, pada Ahad, jam 10.30 pagi mangsa telah pergi ke Bank Islam, Kota Bharu untuk menyemak baki akaun serta membuat kad baharu.

 

"Pegawai memaklumkan bahawa baki akaun bank mangsa telah berkurangan sebanyak RM71,480. Pengadu juga telah ke Bank Muamalat Kota Bharu untuk membuat kad bank yang baharu.

 

"Mangsa sekali lagi dimaklumkan bahawa baki akaun bank miliknya (Bank Mualamat) telah berkurangan sebanyak RM13,049 melalui dua pengeluaran," katanya.

 

Mohd Wazir berkata, proses pengeluaran itu berlaku pada jam 5.36 petang (RM9,999) dan jam 5.40 petang (RM3,050) pada 9 April.

 

"Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami oleh mangsa ialah RM84,529," katanya.