Syarat Permohonan Pembiayaan Mikro Dipermudah
PRIHATIN dengan nasib penjaja dan peniaga kecil di negara
ini, pelbagai syarat dipermudahkan untuk pemohon Program Pembiayaan Mikro
menerusi Bank Rakyat yang dibuka bermula Isnin.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Tan Sri
Noh Omar memberitahu, antara syarat yang dipermudahkan adalah tiada semakan
dilakukan menerusi Pusat Sistem Maklumat Rujukan Kredit (CCRIS) dan CTOS bagi
permohonan tersebut.
Menurutnya, peruntukan sebanyak RM48.52 juta telah diumumkan
oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Majlis Sambutan
Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 di Putrajaya
pada 3 Disember lalu.
Ia janji yang telah dibuat oleh Perdana Menteri dan
peruntukan ini sudah dapat dan sedia ada di Bank Rakyat di mana kita ubah suai
untuk beri pinjaman mikro kepada penjaja dan peniaga kecil.
Selain itu, tiada faedah dikenakan dan diberikan moratorium
selama tempoh 12 bulan, katanya kepada pemberita pada Selasa.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Banjir
Usahawan Keluarga Malaysia bernilai RM3,000 seorang secara one-off kepada lebih
500 orang terdiri usahawan informal dan mikro Parlimen Temerloh di Dewan Tun
Razak di sini.
Hadir sama, Exco Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal
Ehwal Pengguna Pahang, Datuk Nazri Ngah dan Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam
Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin.
Tambahnya, tempoh seminggu kelulusan diberikan bagi
permohonan tersebut dan beliau berharap proses tersebut boleh dipercepatkan.
Jumlah maksimum pinjaman sebanyak RM50,000 dan kalau
usahawan informal boleh pinjam hingga RM10,000, jelasnya.
Dalam pada itu, beliau juga memberitahu peruntukan tahun ini
sebanyak RM200 juta menerusi Skim Pembiayaan Informal (SPIN) membabitkan
kira-kira 23,000 usahawan informal yang terjejas akibat pandemik Covid-19 dan
banjir telah habis diagihkan kepada golongan terbabit dalam tempoh tiga bulan.
Tahniah kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN)
Nasional dalam tempoh tiga bulan ia berjaya diagihkan kepada 23,000 usahawan
informal.
Setakat ini terdapat 3,000 lagi permohonan dalam perhatian
(KIV) dan jika dapat peruntukan tambahan, kita akan proses permohonan dalam
senarai menunggu tersebut, katanya.
Namun Noh menjelaskan bagi usahawan biasa masih boleh
memohon skim-skim pembiayaan lain yang berjalan seperti biasa.
Sementara itu, bagi geran BKKM, beliau juga memberitahu dana
sebanyak RM50 juta yang diperuntukkan juga habis dan permohonan telah ditutup
pada 19 Mac lalu selepas ia dibuka kepada golongan terbabit bermula 22 Februari
lalu.
Sehingga kini sebanyak 16,058 permohonan telah diterima di
seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 9,688 permohonan
diluluskan dengan nilai RM29.06 juta manakala baki selebihnya, 6,730 permohonan
masih dalam proses penilaian, tambahnya.
- sinarharian
0 Response to "Syarat Permohonan Pembiayaan Mikro Dipermudah"