PENGUMUMAN Perdana Menteri berhubung pengeluaran khas
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 dianggap seperti khabar
gembira buat rakyat negara ini.
Selepas Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman
itu pada pukul 1.30 petang, Rabu, rata-rata netizen tampil meluahkan kelegaan
dan rasa gembira di media sosial.
Semakan sekitar jam 2 petang Rabu mendapati laman web KWSP
mengalami kesukaran untuk untuk diakses secara normal oleh para pencarum.
Malah, ramai yang turut mengalami kesukaran untuk mendaftar
masuk (log in) bagi membuat semakan akaun masing-masing. Selain laman web rasmi
KWSP aplikasi KWSP i-Akaun juga gagal diakses oleh pengguna.
Difahamkan, ramai pencarum cuba mengakses akaun
masing-masing selepas pengumuman rasmi PM sebentar tadi.
"Aplikasi KWSP dah mula loading, masing-masing tengah
tengok balance ke tu?
"Saya tak boleh bayangkan jumlahvtrafik online KWSP
sekarang. Sistem tergendala dalam setengah jam selepas pengumuman.
"Down terus website KWSP ni," tulis beberapa netizen.
Selain komen mengenai kesukaran akses laman web dan aplikasi KWSP ramai yang
turut meluahkan pendpat masing-masing mengenai pengumuman itu.
"Alhamdulillah. Jangan risau. Nanti kami kerja, kami
carumlah balik tulis seorang netizen di ruangan komen Instagram.
Selain itu, ada netizen turut menyatakan hasrat membuat
pengeluaran itu demi menyambut kedatangan bulan suci Ramadan tidak lama lagi.
Malah, ada netizen berkata mereka mahu membuat pengeluaran
demi membayar hutang, membaiki kediaman serta kereta yang rosak ketika bencana
banjir baru-baru ini.
Terdahulu, Ismail turut memberi nasihat agar pencarum
berfikir masak-masak sebelum membuat pengeluaran tersebut.
"Ini merupakan keputusan yang sukar kerana ia
melibatkan simpanan hari tua rakyat dan pengeluaran khas ini adalah jalan
tengah dalam mengimbangi antara keperluan mendesak hari ini dan simpanan masa
hadapan.
"Walaupun Kerajaan memberikan kebenaran untuk
pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada pencarum supaya mengekalkan
simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.
''Saya berharap para pencarum membuat pertimbangan
yangbsewajarnya sebelum melakukan pengeluaran, demi masa depan," ujar
Ismail dalam sidang medianya.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran
caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah
RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda
negara dua tahun lalu.