SHAH ALAM - Permohonan untuk pengeluaran khas RM10,000
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) seperti yang diumumkan oleh Perdana
Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan dibuka kepada ahli di bawah umur
55 tahun bermula 1 April nanti.
KWSP dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, permohonan
tersebut juga akan ditutup pada penghujung bulan depan dan tempoh pembayaran
akan dilaksanakan sebelum 20 April 2022.
"Ahli dibenarkan untuk mengeluarkan jumlah maksimum
sebanyak RM10,000 dan minimum RM50, selain perlu mengeluarkan baki simpanan
dalam Akaun 2 mereka dahulu sebelum mengakses simpanan dalam Akaun 1.
"Sebarang maklumat lanjut akan dimaklumkan kelak,"
maklum kumpulan tabungan pekerja itu.
Ismail Sabri dalam Sidang Media Khas mengumumkan pengeluaran
khas caruman KWSP sebanyak RM10,000 bagi meringankan beban Keluarga Malaysia
yang masih terkesan susulan pandemik Covid-19.
Dalam sidang akhbar khasnya, Ismail Sabri berkata, keputusan
itu dibuat berdasarkan hasil kajian dan penelitian secara menyeluruh dalam
kalangan rakyat yang masih terkesan dari segi ekonomi, kehilangan pendapatan
dan sedang membina semula kehidupan.
"Kerajaan mendengar, mengkaji dan meneliti permintaan
daripada semua pihak untuk mengeluarkan caruman KWSP.
"Justeru, hari ini (Rabu) kerajaan bersetuju
membenarkan pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000," katanya.
- sinarharian