KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terpaksa
menjual lebih banyak aset pelaburan luar negara dalam keadaan pasaran tidak
menentu terutama krisis berlaku antara Rusia-Ukraine.
Penjualan aset pelaburan berkenaan sebagai menampung
jangkaan nilai RM63 bilion melibatkan pengeluaran tambahan selepas beberapa
pakej pengeluaran caruman seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
berkata, kerajaan antara lain terpaksa menghentikan aktiviti pelaburan dalam
negara dalam jangka masa pendek dan sederhana dalam tempoh tiga hingga bulan.
Ads by Kiosked
Beliau menegaskan, langkah itu akan memberi kesan buruk ke
atas pasaran saham dan bon tempatan termasuk kadar faedah Sekuriti Kerajaan
Malaysia (MGS) yang meningkat dalam kadar 100 mata asas berbanding suku ketiga
2020, malah meningkatkan kos pinjaman kerajaan pada masa akan datang.
“Sekiranya dibenarkan pengeluaran RM10,000 secara sekali,
bilangan ahli layak membuat pengeluaran dijangkakan seramai 6.3 juta ahli yang
melibatkan pengeluaran tambahan berjumlah lebih RM63 bilion.
“Jika pengeluaran tambahan ini dibenarkan, KWSP perlu
melaksanakan imbangan portfolio dengan impaknya yang mungkin lebih daripada
nilai pengeluaran berjumlah RM63 bilion,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Usul
Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Kewangan pada persidangan Dewan
Rakyat, hari ini.
Pencarum KWSP mempunyai akses bagi sehingga RM71,000 dalam
dana persaraan itu melalui tiga program pengeluaran khas iaitu i-Lestari,
i-Sinar dan i-Citra yang telah memberi manfaat kepada lebih 7.3 juta ahli atau
58 peratus daripada 12.7 juta ahli dengan pengeluaran berjumlah RM101 bilion.
Menurut Tengku Zafrul, walaupun inisiatif tersebut
meringankan beban ahli yang memerlukannya, namun pengeluaran khas terbabit
telah mengakibatkan pengurangan simpanan persaraan yang ketara.
“Susulan pengeluaran sebanyak RM101 bilion tersebut, seramai
6.1 juta ahli atau 48 peratus di bawah 55 tahun hanya mempunyai baki simpanan
kurang daripada RM10,000,” katanya.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, kadar dividen KWSP
yang diumumkan baru-baru ini sepatutnya lebih tinggi pada 6.7 peratus berbanding
6.1 peratus jika tiada pengeluaran simpanan oleh pencarum, malah dividen
tambahan RM5.4 bilion boleh diagih kepada semua ahli dana persaraan.
“Jumlah kehilangan RM5.4 bilion ini telah menyebabkan lebih
kurang 5.3 juta ahli tidak pernah mengeluarkan simpanan melalui mana-mana skim
pengeluaran, terpaksa menerima pulangan simpanan lebih rendah.
“Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat sekalian yang
juga mewakili pencarum yang tidak perlu mengeluarkan simpanan mereka. Adakah
ini adil?” Soalnya.
– UTUSAN