Kerajaan
mencadangkan agar gaji minimum bulanan baru RM1,500 dilaksanakan secepat
mungkin, bukannya menjelang akhir tahun, berikutan pemulihan ekonomi yang
memberangsangkan ketika ini.
Menteri
Sumber Manusia M Saravanan menambah bahawa kabinet bersetuju secara prinsip
untuk menaikkan gaji minimum bulanan kepada RM1,500,
“Berdasarkan
unjuran dalam Belanjawan 2022, prestasi ekonomi dijangka berkembang pada kadar
5.5 hingga 6.5 peratus pada 2022.
“Berhubung
perkara ini, kerajaan bercadang melaksanakan gaji minimum baru secepat mungkin
dan bukannya pada penghujung tahun ini, memandangkan keadaan ekonomi negara
sekarang dilihat semakin baik dan banyak perniagaan yang semakin berkembang dan
menunjukkan trend pemulihan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari
ini.
Saravanan
menjawab soalan M Kula Segaran (Pakatan Harapan-Ipoh Barat), Idris Jusoh
(BN-Besut), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muda-Muar) dan Shaharizukirnain Abd
Kadir (PAS-Setiu) mengenai pelaksanaan RM1,500 gaji minimum bulanan.
Bagaimanapun,
Saravanan berkata mereka tidak dapat melaksanakannya segera kerana kerajaan
masih memerlukan masa untuk meneliti secara menyeluruh isu ini dari pelbagai
aspek.
“Kita ada
tanggungjawab (sebagai kerajaan), kita perlu kaji semula perkara ini secara
menyeluruh, jadi kabinet telah membincangkan perkara ini dari pelbagai aspek
sejak tiga minggu lepas,” katanya.
Dia
menyatakan bahawa kerajaan biasanya akan menaikkan gaji minimum setiap dua
tahun selepas semakan, tetapi menurutnya ia dilaksanakan dalam situasi biasa.
Jelasnya,
situasi ketika ini "luar biasa", kerana apabila berhadapan dengan
pengangguran sebelum ini, ia adalah pasaran majikan. Tetapi kini, ia adalah
pasaran pekerja.
“Sebagai
pekerja, saya ada pilihan sama ada mahu menerima atau tidak gaji yang
ditawarkan kerajaan atau meneruskan ekonomi gig yang mampu memberikan banyak
pendapatan.
"Jadi
sekarang kerajaan sedang meneliti perkara itu, termasuk sektor tidak
formal," kata Saravanan.
Sebelum ini,
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan mengadakan sesi libat urus
dengan majikan mengenai gaji minimum RM1,500 bagi membolehkan ia dilaksanakan
secara holistik.