Kerajaan Bekukan Akaun Bank Suami Gagal Bayar Nafkah
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menyekat atau membekukan akaun
bank golongan suami yang gagal membayar nafkah kepada bekas isteri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
tindakan itu dibuat kerajaan bagi memastikan kepentingan dan hak wanita dapat
terus dijaga kerana lazimnya bekas isteri sukar untuk mendapatkan nafkah
selepas perceraian.
Katanya, menerusi inisiatif itu, bayaran terus nafkah kepada
bekas isteri akan dilakukan dari bank suami.
"Apabila kes mahkamah dimenangi wanita dalam tuntutan
nafkah, sukar suami untuk bayar dan mereka ingkar perintah mahkamah.
"Jadi apabila kita bekukan, jika mahkamah perintahkan
bayaran RM1,000 sebulan jadi bank akan diarahkan untuk bayar terus kepada
isteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ucapan penggulungan Naib
Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 di Pusat Dagangan Dunia
Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Sabtu.
Sementara itu, bagi menjaga dan menghargai peranan wanita,
Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa kerajaan memberi kelonggaran kepada
isteri yang kematian suami dibenarkan wanita bekerja dari rumah sehingga tamat
tempoh iddah.
Katanya, kerajaan juga memberi sebanyak 30 peratus kuota
wanita dalam Lembaga Pengarah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Syarikat
Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC).
- astroawani.com
0 Response to "Kerajaan Bekukan Akaun Bank Suami Gagal Bayar Nafkah"