KUALA
LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah bertitah agar setiap pandangan rakyat sewajarnya dihargai dan
keperluan mereka dipenuhi.
Berpandukan
semangat Keluarga Malaysia, Al-Sultan Abdullah bertitah rakyat Malaysia
diibaratkan sebagai sebuah keluarga dan setiap ahli dalam keluarga hendaklah
dihormati.
Titah
baginda lagi, sekiranya konsep itu diamati sebaiknya, semangat Keluarga
Malaysia boleh membawa kepada penyatuan dalam sebuah negara yang wujud beraneka
kepelbagaian.
“Jika dasar
Keluarga Malaysia yang inklusif dan adil, digabungkan pula dengan semangat
sebuah Keluarga Malaysia, beta percaya negara akan terus berdaya saing dan
mencapai kemajuan yang lebih tinggi.
“Justeru,
pelaksanaan semua program di bawah dasar Keluarga Malaysia hendaklah diteliti,
diperhalusi dan ditambah baik dari semasa ke semasa.
“Pandangan
serta cadangan rakyat beta juga hendaklah diterima oleh agensi pelaksana dengan
hati yang terbuka dan jiwa yang besar,” titah Baginda.
Seri Paduka
Baginda bertitah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah
Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang
di-Pertuan Agong di Istana Negara.
Turut
berangkat dalam istiadat tersebut ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah
Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pada
istiadat itu, seramai 44 daripada 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran,
Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2021 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang
di-Pertuan Agong yang disambut 7 Jun lepas, namun tiada istidat sambutan
diadakan berikutan penularan COVID-19.
Mengenai
sambutan pada Sabtu, Seri Paduka bertitah ia dirancang untuk berlangsung pada
Julai, namun tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan pandemik COVID-19 yang
belum reda.
Dalam pada
itu, Al-Sultan Abdullah bertitah agar setiap peruntukan dalam Bajet 2022 diurus
tadbir dengan dengan penuh ketelitian agar dapat memberi impak optimum kepada
negara khususnya dalam usaha membasmi kemiskinan dan meningkatkan
sosio-ekonomi.
“Negara terus
mencatatkan prestasi pertumbuhan ekonomi yang semakin baik. Perkembangan
ekonomi negara sebanyak 7.1 peratus pada separuh pertama tahun 2021,
menunjukkan negara berada pada landasan yang betul dalam fasa pemulihan
ekonomi.
“Prestasi
baik ini hendaklah diteruskan. Pada masa yang sama, kerajaan juga perlu terus
meneroka strategi baharu yang berinovatif dan merangka bidang per-tumbuhan
baharu bagi mencapai matlamat pembangunan lestari.
“Walau
bagaimanapun, laporan Ketua Audit Negara tahun 2020 yang diterbitkan baru-baru
ini telah melaporkan beberapa isu kerugian kepada kerajaan,” titah Baginda.
Justeru,
Al-Sultan Abdullah menitahkan kerajaan supaya segera merangka strategi dan
pendekatan yang lebih berkesan untuk menangani perkara tersebut agar ia tidak
berulang lagi.
Sumber:
astroawani