KUALA LUMPUR: Pelaksanaan gaji minimum baharu yang
dicadangkan sebanyak RM1,500 tidak akan dilaksanakan pada penghujung tahun ini.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata
sebaliknya perkara itu akan diumumkan dalam terdekat memandangkan situasi
ekonomi negara ketika ini bertambah baik.
Katanya, kebanyakan perniagaan juga dilihat berkembang serta
menunjukkan trend pemulihan.
"Kerajaan mengambil maklum permintaan beberapa pihak
untuk menyegerakan pelaksanaan gaji minimum baharu kepada kadar lebih tinggi
berikutan keadaan ekonomi semasa dan kos sara hidup yang semakin meningkat.
"Namun, kadar gaji minimum yang baharu hanya akan
dilaksanakan dengan melihat keperluan sebenar rakyat dan kemampuan
majikan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat)
mengenai cadangan kerajaan melaksanakan kadar gaji minimum sekitar RM1,500.
Menjawab soalan tambahan Kulasegaran kenapa kerajaan masih
belum melaksanakan penetapan gaji minimum terbabit memandangkan kos sara hidup
semakin meningkat dan ramai pekerja menghadapi masalah, Saravanan berkata
kerajaan secara dasar bersetuju menaikkan kadar gaji sebanyak RM1,500.
"Sebagai kerajaan yang rasional, kita perlu mengkaji
pelbagai aspek...kita masih ada tanggungjawab dan mengkaji secara mendalam.
"Malah Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri
dalam tiga minggu berturut-turut, kita berbincang mengenai gaji minimum dan
mengambil kira pelbagai aspek," katanya.
Saravanan berkata, beliau sedar kenaikan gaji perlu
dilaksanakan setiap tahun namun situasi kini berbeza yang mana keadaan amat di
luar kebiasaan.
Jelasnya, jika kerajaan gagal melaksanakan kajian
terperinci, ia akan memberi kesan kepada sektor tidak formal hingga memaksa
majikan mengambil langkah drastik memberhentikan pekerja mereka.
"Kita sedang mengkaji, maka saya beri jaminan kepada
Yang Berhormat dalam masa terdekat, kerajaan akan umumkan gaji minimum bukan
atas dasar desakan mana-mana pihak tetapi atas dasar usaha kerajaan sendiri,"
katanya.
Dalam pada itu, Saravanan turut mengumumkan kadar
pengangguran negara berjaya diturunkan dari 5.3 peratus kepada 4.2 peratus dan
kerajaan sedang berusaha untuk menurunkan lagi kadar terbabit.
Menjawab soalan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar)
mengenai peningkatan kadar gaji minimum kepada RM1,600 sebulan, beliau berkata,
peningkatan kadar itu wajar dilaksanakan secara berperingkat.
"Ini bagi menjamin kelangsungan operasi syarikat dan
memastikan pekerjaan pekerja dapat dikekalkan.
"Peningkatan kadar gaji minimum yang terlalu tinggi dan
drastik boleh menjejaskan daya saing negara menyebabkan pasaran buruh negara
akan berdepan cabaran untuk mencipta pekerjaan baharu yang berkualiti dan
berkemahiran tinggi," katanya.
- BHarian