CUEPACS Cadang Gaji Minimum Baharu Sektor Awam RM1,800 Sebulan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sekali lagi mengulangi cadangan gaji minimum baharu
RM1,800 sebulan untuk sektor awam berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, pihaknya sebelum ini
mengutarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan mencadangkan gaji RM1,800
sebulan kerana berpendapat angka berkenaan munasabah untuk dinilai kerajaan.
"Pada masa sama, Perdana Menteri juga memaklumkan dalam
Kabinet dan di Parlimen pada 27 November lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12
(RMK-12), kerajaan menyasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi
menjelang 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.
"Namun sasaran di bawah RMK-12 ini sudah tentu tidak
akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah kerajaan
sendiri," katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program
Koresponden terbitan BERNAMA TV bertajuk 'Penentuan Nasib Penjawat Awam' hari
ini.
Beliau juga berkata sebelum ini, kerajaan menetapkan bahawa
gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan kali terakhir sistem saraan
perkhidmatan awam disemak pada 2002.
"CUEPACS melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan
setiap 10 tahun, maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk
menyemaknya semula.
"Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh
menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, setimpal
dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga berubah dengan (harga)
barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lalu," katanya.
– BERNAMA
0 Response to "CUEPACS Cadang Gaji Minimum Baharu Sektor Awam RM1,800 Sebulan"