BKM Isi Rumah, Warga Emas & Bujang Dibayar Pada 28 Mac Hingga 8 April Ini
Kuala Lumpur: Pembayaran fasa satu Bantuan Keluarga Malaysia
(BKM) bernilai hampir RM2 bilion akan diagihkan secara berperingkat mulai 28
Mac ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
pembayaran BKM itu membabitkan 8.6 juta penerima.
Beliau berkata, penerima BKM itu akan mendapat bayaran
sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima merangkumi
4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta
individu bujang.
"BKM adalah inisiatif bantuan tunai langsung yang
diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
"Pembayaran BKM ini juga bagi meringankan beban
kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut Ramadan 1443 Hijrah," katanya
dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, penerima BKM untuk isi rumah, warga emas dan
individu bujang dibayar pada 28 Mac hingga 8 April ini yang akan terus
dikreditkan ke akaun bank masing-masing.
Beliau berkata, bagi penerima yang tidak mempunyai akaun
bank termasuk di Sabah dan Sarawak, tarikh pembayaran pada 30 Mac ini melalui
cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Katanya, untuk kategori itu, BSN akan mengeluarkan panduan
prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
"Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka
yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei tahun
ini untuk tempoh sebulan.
"Proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula
permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan
rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil
Dalam Negeri (LHDN).
"Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan
akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya
kumpulan sasar," katanya.
- hmetro
0 Response to "BKM Isi Rumah, Warga Emas & Bujang Dibayar Pada 28 Mac Hingga 8 April Ini"