Dungun: "Saya reda dan amanah ini akan dipikul dengan
sebaik mungkin," kata seorang lelaki yang tetap tabah menjaga isteri dan
empat anak lelaki orang kurang upaya (OKU).
Jumahir Masun, 52, berkata empat daripada lima anaknya
berusia 16 hingga 25 tahun tidak boleh berjalan sejak berusia satu tahun.
"Anak-anak saya tidak membesar seperti kanak-kanak
lain, dulu saya dapat berkongsi tugas mencabar ini dengan isteri, Rohayati
Abdullah, 50.
"Namun, kini tugas itu digalas sendirian selepas isteri
tiba-tiba tidak dapat berjalan dan disahkan lumpuh sejak empat tahun
lalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Kertih 6, di sini, hari
ini.
Menurutnya, anak sulungnya, Ahmad Arif Aiman, 25, hanya
terlantar di atas katil sepanjang masa.
Katanya, sementara Ahmad Ariffin, 23, Ahmad Zainuddin, 17,
dan Ahmad Budiman, 16, pula mengalami masalah sendi tangan serta kaki
menyebabkan mereka tidak boleh duduk dengan betul.
"Sebelum ini, saya ada membawa anak-anak ke hospital
untuk rawatan dan terapi tetapi atas sebab masalah pengangkutan kerana tiada
kereta menyebabkan mereka tidak dibawa lagi ke hospital.
"Keempat-empat anak dan isteri terpaksa memakai lampin
pakai buang dan itu membuatkan saya terpaksa berbelanja lebih untuk menanggung
kos berkenaan," katanya.
Katanya, sebelum ini dia bekerja mengambil upah mengait
kelapa sawit dan kini terpaksa berhenti kerja sejak isterinya lumpuh.
"Isteri dan anak-anak memang memerlukan penjagaan dan
perhatian sepenuhnya termasuk menguruskan diri mereka.
"Keadaan itu menyebabkan saya tidak dapat bekerja dan
dalam hati ini saya menangis memikirkan keadaan saya dan mereka," katanya.
Jumahir berkata, dia tetap bersyukur apabila setiap anaknya
diberi bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM).
"Bantuan itu saya perlu berjimat-cermat untuk
perbelanjaan lampin pakai buang mereka dan makan minum kami sekeluarga.
"Duit bantuan itu juga digunakan untuk anak ketiga, Nor
Hanisa, 20, yang menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana wang
Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang diperolehinya perlu
digunakan untuk membayar yuran pengajian dan membeli buku-buku pelajaran,"
katanya.
Katanya, dia juga bersyukur kerana jiran-jiran yang
bersimpati dengan nasib mereka sekeluarga dengan menghulurkan makanan.
"Saya sering menangis sendirian memikirkan nasib dan
tidak tahu apa akan berlaku kepada mereka sekiranya umur saya tidak panjang,
"katanya.
Mereka yang ingin membantu keluarga berkenaan boleh
menghubungi Jumahir di talian 0145401915.
Sumber: hmetro.com.my