“Saya tidak terkesan, yang hendak hentam, Saya Tak Benarkan Pengeluaran KWSP, Guna Pinjaman TEKUN Tak perlu KWSP

 

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau tidak akan terkesan dengan kritikan dan hinaan tentang isu pengeluaran kali terakhir wang dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) i-Citra yang dibuat di media sosial.

 

Perdana Menteri berkata, fokusnya yang lebih utama ketika ini adalah terus bekerja menjaga kepentingan rakyat.

 

“Yang tidak berpuas hati akan terus tidak berpuas hati. Yang memaki hamun akan terus membuat kerja mereka.

 

“Saya kerja saya menjaga kepentingan rakyat dan tugas orang untuk memaki dan menghina melalui media sosial (berhubung i-Citra) itu tugasnya.

 

“Saya tidak terkesan, yang hendak hentam terserah kepada mereka. Ia tidak menyekat tugas saya untuk terus bertugas demi kepentingan rakyat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang, di sini hari ini.

 

 

 

ISMAIL SABRI Yaakob (tiga dari kiri) selepas menyempurnakan Misi Bantuan Keluarga Malaysia bagi mangsa banjir Parlimen Temerloh di Dewan Majlis Perbandaran Temerloh Dataran Bahaman di Lanchang di Temerloh, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIFTOP

Yang hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd. Sharkar Shamsudin dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali.

 

 

Semalam, beliau dilaporkan berkata, kerajaan sedar kehidupan mangsa-mangsa banjir pada beberapa bulan mendatang adalah amat mencabar dan memerlukan sokongan semua untuk bangkit semula membina kehidupan.

 

Lantaran itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan komited memastikan bantuan-bantuan yang bakal disalurkan ditambah baik supaya lebih menyeluruh dan dapat segera disampaikan kepada mereka memerlukan.

 

Kata Ismail Sabri, keseluruhan pemberian tunai kepada mangsa banjir mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dan ia merupakan usaha kerajaan untuk mengurangkan bebanan rakyat tanpa perlu mengeluarkan wang KWSP.

 

Perdana Menteri berkata, dengan usaha tersebut, pencarum boleh mengekalkan simpanan mereka dan menikmati dividen tahunan sekitar lima peratus sekali gus mereka  boleh merancang masa depan selepas bersara.

 

Sumber : UTUSAN ONLINE