Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan seorang lelaki
warga tempatan, setelah waran tangkap dikeluarkan berhubung kes mengeluarkan
kenyataan berbaur hasutan, perkauman serta jelik terhadap Institusi Diraja dan
kerajaan.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu pejabat
Polis Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil Hassan, Ganesparan Nadaraja, 40,
dikehendaki bersabit waran tangkap Ewa3836752 yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen
Jenayah Siber, Kuala Lumpur pada 20 Disember lepas.
“Ia berikutan kegagalan lelaki itu untuk hadir pertuduhan
kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia.
“Dia disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 233(1)(a)(ii)
Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Jelasnya, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat
mengenai individu tersebut diminta menghubungi Ketua Unit Siasatan Jenayah
Terkelas Bukit Aman, Superintendan Junainah M. Kasbolah di talian 019-705 1222
atau pegawai penyiasat, Inspektor Shahrir Mohamad di talian 019-541 4014.
Terdahulu, media melaporkan, PDRM memburu seorang lelaki
apabila beliau menghina Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri Malaysia,
yang tular di media sosial, pada 26 Jun lalu.
Menurut Abd Jalil, sejak tahun 2018 hingga kini, polis
membuka 18 kertas siasatan terhadap lelaki itu mengikut Akta Hasutan 1948 serta
Kanun Keseksaan
Sumber : kosmo