Kerajaan tidak berhasrat meluluskan pengeluaran wang
daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM10,000 biarpun
ada permintaan agar ia dipertimbangkan bagi tujuan meringankan beban mangsa
banjir yang terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini
kerana kerajaan telah memperuntukkan dana serta mengumumkan bantuan yang
mencukupi bagi membantu mangsa banjir yang terjejas di seluruh negara pada
ketika ini.
Menurutnya, kerajaan bimbang dengan jumlah baki simpanan
dalam akaun pencarum KWSP susulan dua kali pengeluaran menerusi i-Sinar dan
i-Citra, akan ada yang berisiko menjadi miskin tegar selepas bersara.
"Ada banyak kemudahan diumumkan kepada mangsa banjir.
Jika ada yang mahu buka perniagaan untuk yang terjejas banjir, Tabung Ekonomi
Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional menawarkan pinjaman mudah RM10,000 tanpa
faedah dan moratorium, iaitu tidak perlu bayar balik pinjaman selama setahun.
"Kerajaan sudah sediakan kemudahan ini. Jika apa yang
disediakan ini digunakan, insya-ALLAH ia boleh membantu mangsa banjir,"
katanya pada sidang akhbar di Masjid Al-Muttaqin di sini pada Ahad.
Pada Mac lalu, kerajaan meluluskan pengeluaran khas KWSP
menerusi i-Sinar dengan had pengeluaran antara RM10,000 hingga RM60,000 bagi
mengurangkan impak pandemik.
Pada Ogos tahun ini pula, kerajaan mengumumkan pengeluaran khas
kedua menerusi i-Citra dengan had pengeluaran RM5,000.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan
keberatan meluluskan pengeluaran khas ketiga kerana ramai pencarum kini
memiliki jumlah simpanan yang terlalu sedikit untuk persediaan hari tua mereka.
Sumber : AstroAwani