Kerajaan Sabah membenarkan kunjungan dari rumah ke rumah
sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu dengan prosedur operasi standard
(SOP) yang ditetapkan termasuk pengunjung perlu lengkap vaksin COVID-19.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi
Manjun berkata tempoh masa satu-satu kunjungan tidak melebihi tiga jam dan
perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 30 minit sebelum
menerima kunjungan seterusnya.
Jurucakap COVID-19 Sabah itu berkata ketua rumah perlu
memastikan penggunaan aplikasi MySejahtera atau menyediakan buku log kehadiran
pengunjung, selain menyediakan alat memeriksa suhu badan dan cecair pencuci
tangan.
"Ketua rumah perlu pastikan pengunjung membuat saringan
kendiri, pelitup muka dipakai kecuali semasa makan minum, penjarakan fizikal
satu meter dipatuhi dengan kapasiti 50 peratus rumah, manakala kanak-kanak
bawah 12 tahun hanya dibenarkan hadir bersama ibu bapa lengkap divaksin.
"Tidak dibenarkan mengadakan aktiviti keagamaan atau
bersentuhan ketika kunjungan, ketua rumah termasuk tetamu juga perlu
bertanggungjawab mematuhi SOP di rumah semasa menyambut perayaan
tersebut," katanya dalam kenyataan malam ini.
Krismas bakal disambut pada 25 Dis ini dengan Sabah
menetapkan cuti umum sempena sambutan itu pada 24 dan 25 Dis.
Masidi berkata kerajaan negeri juga menetapkan SOP untuk
rumah ibadat bukan Islam sempena sambutan Krismas antaranya menetapkan tempoh
operasi bermula pada 7 pagi dan berakhir pada 11.30 malam, selain hanya
penganut lengkap menerima vaksin dibenar hadir.
Beliau berkata tempoh masa sembahyang tidak melebihi dua jam
dan perlu diselangi dengan kerja-kerja sanitasi dalam tempoh 30 minit sebelum
sesi sembahyang seterusnya, manakala kehadiran terhad 50 peratus kapasiti
mengambil kira penjarakan fizikal 1 meter.
"Ahli Jawatankuasa Pengurusan (rumah ibadat) dan
penganut yang menghidap penyakit kronik tidak dibenarkan hadir, selain wajib
membawa peralatan sembahyang sendiri dan upacara atau perarakan keagamaan atau
aktiviti melibatkan sentuhan tidak dibenarkan.
"Ahli Jawatankuasa Pengurusan juga perlu memastikan
penggunaan MySejahtera atau buku log kehadiran, dan memastikan semua memakai
pelitup muka, membersihkan tangan dan mematuhi SOP lain ditetapkan,"
katanya.
Sementara itu, Masidi berkata Sabah merekodkan 237 kes
COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kumulatif 238,357 kes, manakala 426 pesakit
sembuh menjadikan kumulatif sembuh seramai 229,833 orang, dan 804 pesakit masih
menerima rawatan.
Sumber : Astroawani