Pasir Salak: Siasatan polis mendapati punca kejadian buli di
sekolah berasrama penuh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), di sini, baru-baru
ini, akibat tindakan mangsa menasihati seorang daripada suspek untuk berhenti
menonton video lucah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata,
ia hasil siasatan dan keterangan yang diperolehi daripada mangsa buli
berkenaan.
"Kita sudah menemubual mangsa dan mendapati punca
pergaduhan atau mengapa dibuli kerana mangsa dikatakan menasihati salah seorang
suspek supaya jangan menonton video lucah melalui telefon bimbit.
"Mangsa mengatakan kalau tidak berhenti menonton video
lucah dia akan mengadu dengan guru atau warden.
"Jadi, ia dikatakan menjadi punca suspek bertindak
untuk memukul atau membuli mangsa," katanya sebagai mengulas perkembangan
terkini berhubung insiden buli di MRSM Kuala Kangsar di sini hari ini.
Mior Faridalathrash berkata, keadaan itu membuat enam suspek
marah dan terdapat seorang pelajar Tingkatan 3 yang mengarahkan enam orang
suspek untuk memukul mangsa.
"Pelajar Tingkatan 3 berusia 15 tahun iaitu salah
seorang suspek yang ditahan mengarahkan enam suspek untuk menumbuk dan juga
menendang mangsa," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis
Perjumpaan Bersama Ketua Agensi Polis Bantuan Kontinjen Perak Tahun 2021 di
sini, hari ini.
Beliau berkata, dimaklumkan bahawa pada 10 Disember kesemua
pelajar pulang ke kediaman masing-masing kerana cuti semester iaitu sehari
sebelum insiden buli terbabit.
Menurutnya, setakat ini pihaknya sudah merakam percakapan
saksi ekoran daripada video yang tular di Twitter dan Facebook.
"Setakat ini polis sudah membuat tangkapan seramai 10
individu yang dikatakan terbabit dengan insiden terbabit termasuk rakan-rakan
yang bersubahat dalam insiden.
"Seramai lapan saksi dipanggil dan diambil keterangan,
kemudian kesemua suspek dibebaskan dengan jaminan polis selepas selesai rakam
percakapan.
"Dalam kes ini ini juga kita merampas 11 telefon bimbit
yang akan kita hantar ke forensik untuk melihat kandungan di dalamnya,"
katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk kepada Timbalan
Pendakwa Raya dan Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut sebaik selepas
semua siasatan selesai.
Katanya, mangsa ketika ini masih menerima rawatan di sebuah
hospital di Selangor dan dilaporkan pegawai perubatan mangsa dalam keadaan
stabil dan tidak mengalami sebarang gejala serius.
Pada 9 Disember lalu, beberapa remaja yang dipercayai
pelajar asrama menumbuk dan menendang seorang pelajar lain secara
beramai-ramai, tular di media sosial menerusi beberapa video berdurasi 13
hingga 30 saat, hingga menerima kecaman orang ramai.