Menteri Kabinet yang sedang bercuti dan merancang untuk
bercuti diarah membatalkan percutian masing-masing, sehingga masalah bencana
banjir yang melanda negara ketika ini selesai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata,
mana-mana menteri yang sedang berada di luar negara, juga diarah membuat
penerbangan balik ke tanah air dengan segera.
"Saya dapat banyak soalan mengenai Menteri-Menteri
Kabinet yang ada bercuti, jadi mereka yang masih belum bercuti batalkan
percutian masing-masing. Mana ada di luar negara balik segera," katanya
pada sidang media selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Bukit
Piatu di sini, hari ini.
Menurut Ismail Sabri beliau juga terpaksa membatalkan
lawatan kerja ke Bangkok, Thailand yang sepatutnya diadakan pada 28 hingga 30
Dis bagi memberi tumpuan kepada isu banjir yang melanda rakyat ketika ini.
Beliau berkata, perbincangan urusan dua hala antara Malaysia
dan Thailand itu akan dibawa ke tarikh lain yang akan diumumkan kelak.
Pada sidang media itu, Perdana Menteri berkata, beliau
berpuas hati dengan pengurusan bencana kerajaan negeri Pahang dan majlis daerah
dalam mengendalikan urusan banjir di negeri itu.
Dalam pada itu beliau menghargai sumbangan daripada syarikat
berkaitan kerjaaan dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang menyumbang
RM75.8 juta sehingga hari ini.
Katanya, Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) juga
telah menyumbang RM5 juta bagi membantu mangsa banjir.
"Sekarang bukan beli makanan, tetapi keperluan rumah
dan duit ini akan digunakan untuk bantu mangsa banjir bila mereka pulang ke
rumah masing-masing kelak.
"Anggota keselamatan negara juga diminta memberi
tumpuan untuk membantu kerja-kerja pembersihan rumah rakyat, apabila mereka
dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selepas ini," katanya. - BERNAMA