Jawatankuasa Teknikal Perundingan Gaji Negara (JTPGN) akan
membentangkan hasil dapatan Kajian Impak dan Kajian Semula Perintah Gaji
Minimum (PGM) 2020 kepada Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) Khamis ini.
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan berkata
jawatankuasa itu juga akan mengemukakan syor mengenai kadar dan liputan gaji
minimum kepada MPGN. Beliau berkata dalam kajian itu, JTPGN mengadakan
perundingan awam dan sesi libat urus membabitkan wakil majikan dan pekerja,
pertubuhan majikan, kesatuan sekerja dan orang awam bagi mendapatkan input
tentang impak pelaksanaan gaji minimum terhadap sosioekonomi negara.
"MPGN sentiasa menggunakan pendekatan seimbang dengan
mengambil kira kepentingan pihak majikan, pekerja dan kerajaan sebelum
mengemukakan syor untuk pertimbangan serta persetujuan kerajaan," katanya
ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 peringkat dasar
di Dewan Rakyat hari ini.
Saravanan juga memaklumkan kerangka kenaikan kadar upah
tidak dibentang dalam pembentangan Bajet 2022 kerana Kementerian Sumber
Manusia, melalui MPGN, masih di peringkat akhir penyediaan Laporan Kajian
Semula PGM 2020.
Mengikut Akta MPGN 2011 (Akta 732), PGM hendaklah dikaji
semula sekurang-kurangnya sekali dalam setiap dua tahun manakala PGM 2020
berkuat kuasa pada 1 Feb 2020, maka kajian semula perlu dilaksana dalam tempoh
dua tahun daripada tarikh kuat kuasa perintah itu.
Saravanan juga berkata Mesyuarat Jawatankuasa Khas
Pengurusan Pandemik pada 22 Okt lepas meluluskan Tatacara Prosedur Operasi
Standard (SOP) Kemasukan Pekerja Asing ke Malaysia bagi semua sektor.