Wanita yang menerima suntikan vaksin Covid-19 berbeza akibat
kesilapan jururawat di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Al-Hana di Sik pada
Ogos lalu, dilaporkan sihat.
Anak wanita terbabit, Nur Jannah Ramli, 30, berkata, ibunya
yang berusia 58 tahun dan menetap di Kampung Selamat B, tidak mengalami
sebarang kesan sampingan lain selepas disuntik vaksin Pfizer-BioNTech dan
Sinovac.
"Alhamdulillah tak ada apa-apa, emak sihat dan tak
alami kesan sampingan selepas kesilapan pemberian vaksin.
"Pihak PPV Sik pun ada hubungi emak bertanya mengenai
keadaan kesihatannya, emak beritahu semuanya sihat sahaja," katanya ketika
dihubungi di sini, hari ini.
Dalam kejadian pada 8.25 pagi 5 Ogos lalu, jururawat
bertugas di Bilik Suntikan 1 PPV Dewan Al Hana, Sik, melakukan kesilapan dalam
pemberian vaksin ke atas wanita itu.
Wanita terbabit sepatutnya menerima suntikan dos kedua
vaksin Pfizer-BioNTech, namun tersilap diberi suntikan vaksin Sinovac.
Berikutan itu, pada 10 Ogos lalu, media melaporkan Pengarah
Jabatan Kesihatan (JKN) Negeri, Dr Othman Warijo memaklumkan, jururawat
berkenaan sudah memohon maaf secara peribadi kepada penerima terbabit.
Katanya, jururawat itu mengakui kesilapan dilakukannya,
sekali gus diberi teguran, kaunseling dan direhatkan daripada tugasan pada hari
berkenaan.
Hasil siasatan JKN Kedah mendapati kesilapan itu berlaku
disebabkan jururawat terbabit tidak memeriksa kad suntikan vaksin wanita
berkenaan sebelum memberikan dos kedua.