Kerajaan negeri akan memberi keutamaan kepada penerima
bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang sudah melengkapkan suntikan
vaksin Covid-19 di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan
Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu Hanafiah Mat berkata, ia selaras
dengan kenyataan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin yang tidak akan memberi
muka kepada kumpulan antivaksin yang memilih untuk menolak vaksin tanpa alasan
yang kukuh.
Menurutnya, golongan berkenaan akan dinasihati terlebih
dahulu untuk segera mengambil vaksin sekiranya mereka memohon bantuan daripada
pihak kerajaan.
"Kita akan semak pemohon itu sudah terima dua dos atau
tidak (dan sekiranya belum), kita akan bagi nasihat supaya (mereka ini)
mengambil suntikan vaksin dahulu sebelum bantuan diberikan.
"Insya-Allah, rakyat akan terima dan kita akan luluskan
setiap permohonan yang menepati syarat yang ditetapkan.
"Kita sedang mengenal pasti golongan yang menolak
vaksin ini dan setakat ini, kita tidak ada data namun jika ada kita akan
nasihat mereka terlebih dahulu," katanya ketika melakukan lawatan ke rumah
seorang warga emas, Wan Fatimah@Wan Maznah Wan Chik, 76, yang menghidap
penyakit paru-paru kronik di Kampung Losong Panglima Perang di sini, semalam.
Sementara itu, Hanafiah turut menyarankan waris kanak-kanak
yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19 tampil mendapatkan bantuan daripada
JKM.
Menurutnya, bantuan sewajarnya merangkumi bantuan kewangan,
persekolahan dan universiti termasuk orang kurang upaya (OKU) akan diberikan
bagi membela nasib mereka.
"Bantuan bukan hanya untuk mereka yang kehilangan
kedua-dua ibu bapa tetapi kita sedia membantu anak-anak yang kematian seorang
daripada mereka.
"Setakat ini, kita ada dengar (kehilangan ibu bapa
akibat Covid-19) tetapi tiada yang mengaku namun kita minta mereka ini tampil
atau sekurang-kurangnya memaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan
Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing," katanya.