Soalan
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya adakah dibenarkan untuk
membeli emas dengan cara hutang? Maksudnya emas tersebut saya ambil dan pakai
dahulu, kemudian baru buat pembayaran.
Ringkasan Jawapan
Jual beli emas secara ansuran adalah diharamkan dan tidak sah
kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu riba yang terjadi disebabkan
menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Huraian Jawapan
Asalnya, hukum berjual beli suatu barang adalah diharuskan
sama ada hendak membeli secara tunai mahupun hutang.
Namun begitu, apabila suatu urusniaga tersebut melibatkan
item ribawi (barang-barang yang terpalit hukum-hakam riba), maka setiap pihak
yang terlibat perlu memberikan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam
kancah riba.
Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang
diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit R.A bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ،
والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ،
سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ،
إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak,
gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan
garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan
bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual
belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara
serta-merta (on the spot)”.
Hadis Muslim (1587)
Berdasarkan hadis di atas, jual beli item ribawi seperti
emas perhiasan mestilah dilakukan secara lani (serta-merta) bukan bertangguh.
Huraiannya, jual beli hendaklah dilakukan secara on the spot
dalam satu majlis; sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara
hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari
atau dua hari selepas itu.
(Rujuk: Kompilasi Pandangan Hukum Mesyuarat Muzakarah
Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, m/s
81)
Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau
penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah; iaitu
riba yang berlaku disebabkan tempoh bayaran bertangguh. Bahkan, lebih dahsyat
pengharamannya apabila penangguhan bayaran tersebut disertakan bersama caj
tambahan.
(Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/110-111)
Oleh itu, jual beli emas secara ansuran seperti isu di atas
adalah diharamkan dan tidak sah kerana mengandungi unsur riba al-nasiah iaitu
riba yang terjadi disebabkan menangguhkan pembayaran secara sengaja.
Sebagai alternatif, pembeli dibolehkan untuk membuat pinjaman
duit daripada pihak ketiga terlebih dahulu sebelum membeli emas tersebut secara
tunai.
Walau bagaimanapun, pembeli perlu mengelakkan diri daripada
meminjam duit daripada pihak yang sama yang menjual emas tersebut supaya tidak
terjerumus dalam larangan Nabi Muhammad SAW berkenaan “jual beli dan hutang”
dalam satu masa yang sama.
Ini bersandarkan kepada hadis Baginda,
أنَّ النبيَّ ﷺ نَهى عن بَيعتينِ في بيعةٍ وعن بَيعٍ وسَلَفٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW melarang dua jual beli
dalam satu transaksi serta jual beli dan hutang”.
Musnad Ahmad (10/120)
Sebahagian ulama antaranya Ibn al-Qayyim Rhm. mengulas hadis
di atas bahawa ia menjadi tunjang utama dalam mualamat yang melarang umat Islam
daripada berbuat helah untuk melakukan riba dalam jual beli. Hal ini walaupun
tidak disebutkan secara jelas namun dapat difahami berdasarkan senario yang
berlaku bahawa terdapar dua hasrat yang ingin dicapai oleh kedua-dua penjual
dan pembeli, iaitu:
1) Penjual emas meminjamkan duit mereka bertujuan agar
emasnya dapat terjual. Sedangkan jika pelanggan tersebut tidak mahu membeli
emas tersebut, nescaya penjual tidak meminjamkan duitnya.
2) Pembeli pula sekiranya tidak diberi pinjaman wang
kepadanya oleh penjual, nescaya dia tidak akan membeli emas tersebut.
(Lihat: Tahzib Sunan Abi Daud, 2/190)
Akhir kata, kami menasihatkan agar para pembeli tidak
menambahkan hutang melainkan untuk perkara-perkara yang mendesak sahaja. Adapun
sekiranya mempunyai lebihan wang selepas ditolak perbelanjaan utama, maka
diharuskan untuk membeli aset dan hart lain seperti emas dengan syarat
pembayaran mestilah dilakukan secara tunai.
Wallahu a’lam.