Penerima bantuan sering dikaitkan dengan eKasih, namun
tahukah anda apa itu sistem eKasih?
Ia merupakan satu sistem pengkalan data keluarga miskin yang
diwujudkan di peringkat nasional bagi membantu merancang, melaksana dan
memantau program kemiskinan.
Sebenarnya eKasih sebenarnya bukanlah program bantuan,
tetapi data yang dikumpulkan dalam sistem ini akan disalurkan kepada program
bantuan pembasmian kemiskinan dan sebagainya.
Ini bermaksud, dengan adanya eKasih, semua agensi yang
berkaitan dengan program pembasmian kemiskinan akan menggunakan maklumat dari
sumber yang telah diproses, direkodkan dan disemak.
Maka, perancangan program pembasmian kemiskinan akan lebih
tersusun dan pemantauan akan lebih berkesan.
Jadi, bagaimana sistem ini berfungsi, apakah kelayakan dan
bagaimana cara untuk mendaftar dalam sistem ini?
Jom kami kongsikan maklumat lanjut tentangnya.
Apakah eKasih?
eKasih merupakan Bank Data Kemiskinan Nasional yang
mengandungi maklumat mengenai kemiskinan bermula dari profil individu, program
/ bantuan yang diterima oleh Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR)
daripada agensi pemberi bantuan sehinggalah kepada permohonan bantuan dan
pemantauan keberkesanan program / bantuan yang diterima.
Portal dan data ini dibangunkan secara in-house oleh Unit
Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) susulan daripada
keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 31 Oktober 2007 dan Mesyuarat Menteri
Besar dan Ketua Menteri pada 1 November 2007.
Bermula pada Jun 2008 sistem ini telah digunakan sepenuhnya.
Antara ciri-ciri utama eKasih adalah:
- Semakan status kemiskinan secara online.
- Penyelarasan maklumat bantuan.
- Pengemaskinian maklumat kemiskinan secara online.
- Pengiraan status kemiskinan (miskin/miskin tegar) secara automatik berdasarkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) per kapita.
- Penjanaan laporan dan statistik kemiskinan.
- Poverty mapping dan pemantauan kemiskinan.
Syarat Kelayakan eKasih
- Golongan yang berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa boleh mendaftar.
- Secara umumnya, kategori miskin ialah pendapatan ketua isi rumah (KIR) kurang daripada RM980 sebulan dan untuk miskin tegar pula mesti kurang daripada RM560 sebulan.
- Pendapatan per kapita ialah jumlah pendapatan bulanan semua ahli isi rumah dalam sesuatu tempat kediaman dan dibahagikan dengan bilangan ahli isi rumah tersebut.
(*Sila rujuk rajah di bawah untuk kiraan yang lebih tepat
untuk membuat anggaran kelayakan berdasarkan kategori dan lokasi pemohon).
Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) ialah pendapatan isi rumah
(bulanan) yang disediakan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi (MEA). / Sumber:
Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri
Cara Pendaftaran
Komponen data eKasih terdiri daripada maklumat asas Ketua
Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR), Maklumat Lokasi, Kediaman,
Pendidikan, Kemahiran dan Pekerjaan, Pemilikan Harta, Kesihatan, Pendapatan
serta Bantuan.
Keluarga atau individu yang layak boleh hadirkan diri ke
Pejabat Pembangunan Negeri (PPN) atau Pejabat Daerah yang berdekatan atau
melalui telefon, surat atau e-mel rasmi.
Orang awam juga boleh membuat laporan atau mendaftar kes
kemiskinan melalui Pemimpin Tempatan, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK)
atau Majlis Perwakilan Penduduk (MPP).
9 komponen bagi Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah
(AIR) iaitu butiran KIR dan AIR akan direkodkan dalam pendaftaran iaitu:
lokasi
kediaman
pendidikan
kemahiran
pekerjaan
harta
kesihatan
bantuan
pendapatan
NOTA:
*KIR adalah daripada kalangan ahli isi rumah sesuatu tempat
kediaman yang bertanggung jawab atau diberi tanggung jawab terhadap kebajikan
ahli isi rumah di mana dia tinggal.
*AIR ialah mereka yang dianggap sebagai penghuni atau
tanggungan di sesuatu tempat kediaman di mana mereka tinggal.
Semakan Status Pendaftaran eKasih
Data eKasih digunakan oleh agensi pemberi bantuan bagi
mengenal pasti mereka yang benar-benar layak berasaskan kepada profil terkini
dan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
Anda boleh menghubungi ICU JPM melalui Pejabat Pembangunan
Negeri (PPN – Bahagian / Unit Kesejahteraan Rakyat) dan memberikan maklumat
seperti nama atau nombor kad pengenalan untuk semakan dan pengesahan status
eKasih.
Semakan eKasih secara online boleh dibuat melalui laman web
berikut:
https://ekasih.icu.gov.my/ekasih/Semakan/Pages/CarianAwam.aspx
Terdapat 4 status daftar yang boleh disemak:
1. Disahkan – Telah dibanci
2. Disemak – Dalam proses banci
3. Ditolak – Tidak layak dibanci
4. Baru/Daftar Terbuka – Pemohonan baru
Bantuan eKasih
Apa yang penting untuk kita faham, eKasih sebenarnya
bukanlah program bantuan.
Sebaliknya, ia merupakan pangkalan data yang dikendalikan
oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) yang
mengandungi data tentang isi rumah miskin dan miskin tegar.Data eKasih inilah
yang akan digunakan oleh kementerian / agensi yang memberi bantuan melalui
program-program pembasmian kemiskinan.
Namun, terdapat banyak kelayakan berlainan untuk bantuan
yang berlainan yang akan disemak sebelum diproses untuk penerimaan bantuan.
Kelulusan penyaluran bantuan dan tempoh bantuan yang
diberikan tertakluk kepada keputusan agensi pemberi bantuan berdasarkan syarat
dan kriteria bantuan yang telah ditetapkan mengikut agensi masing-masing.
Selain eKasih, anda juga boleh membuat permohonan bantuan di
Jabatan Kebajikan masyarakat (JKM) melalui skim bantuan ini: 11 Skim Bantuan
JKM: Cara Daftar, Semakan & Kemaskini Online
Maklumat Lanjut
Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Pejabat Pembangunan
Negeri masing-masing di talian berikut:
– PPN Perlis : 04-9731976
– PPN Kedah : 04-7209236
– PPN P.Pinang : 04-2185700
– PPN Perak : 05-2497400
– PPN Selangor : 03-55213600
– PPN W.Persekutuan : 03-40420260 / 61
– PPN N.Sembilan : 06-7659945
– PPN Melaka : 06-3333333
– PPN Johor : 07-2234777
– PPN Pahang : 09-5178208
– PPN Terengganu : 09-6272000
– PPN Kelantan : 09-7455000
– PPN Sarawak : 082-446582
– PPN Sabah : 088-484800
ATAU
Ibu pejabat Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana
Menteri di talian 03-8000 8000 untuk menyalurkan sebarang kemusykilan.