KUALA
LUMPUR: Keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 akan
diumumkan 10 Jun ini.
Kementerian
Pendidikan (KPM) menjelaskan pengumuman keputusan itu akan dibuat bermula jam
10 pagi, manakala calon sekolah dan persendirian boleh membuat semakan
keputusan melalui beberapa kaedah.
Katanya, ia
merangkumi semakan secara dalam talian talian di pautan
http://myresult1.moe.gov.my/ atau http://myresult2.moe.gov.my/ untuk
mendapatkan keputusan penuh.
"Calon
juga boleh buat semakan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk
mendapatkan ringkasan keputusan SPM 2020 dengan menaip SPM[jarak]NoKP[jarak]AngkaGiliran
dan hantar ke 68886.
"Perkhidmatan
ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada Khamis depan sehingga jam 6 petang,
17 Jun ini.
"Bagi
calon sekolah yang tidak mempunyai capaian internet, pihak sekolah akan
mengenal pasti calon berkenaan dan memaklumkan kaedah yang sesuai untuk
mendapatkan keputusan peperiksaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Seramai
401,105 calon sekolah yang menduduki SPM 2020, mulai 22 Februari lalu, melakar
sejarah tersendiri apabila peperiksaan itu diadakan dalam keadaan norma baharu,
berikutan penularan jangkitan COVID-19.
Kumpulan
pelajar Tingkatan Lima dilihat mengikuti sesi kelas SPM tahunan terpanjang,
iaitu hampir 14 bulan, namun pembelajaran bersemuka paling singkat, iaitu
sekitar empat bulan, ekoran penularan pandemik COVID-19 yang memaksa mereka
beralih kepada pembelajaran dalam talian menerusi aplikasi seperti Google Meet,
Google Classroom dan Skype.
Bagi calon
persendirian yang tidak mempunyai capaian internet, KPM berkata, Jabatan
Pendidikan Negeri atau Pejabat Pendidikan Daerah akan mengenal pasti individu
berkenaan dan memaklumkan kaedah sesuai untuk mendapatkan keputusan
peperiksaan.
"KPM
sentiasa komited untuk terus melakukan yang terbaik," katanya.
Sumber: bharian