KUCHING: Kehadiran kapal pengawal pantai China di perairan
Sarawak terus mencetuskan kegusaran dalam kalangan nelayan negeri ini.
Terbaru, kapal pihak berkuasa China itu dikesan di kawasan
Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri, Jumaat lalu.
Sumber berkata, kejadian itu sudah dilaporkan oleh beberapa
pemancing tempatan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim
Malaysia) di Miri.
Berikutan itu, difahamkan aset Maritim Malaysia dan Tentera
Laut Diraja Malaysia (TLDM) dikerah ke lokasi terbabit untuk mengetatkan
kawalan perairan yang turut dikenali sebagai South Luconia Shoals itu.
Bagaimanapun, jurucakap Maritim Malaysia, Sarawak ketika
dihubungi berkata, pihaknya tidak dapat memberikan ulasan lanjut berhubung
perkembangan terkini di Laut China Selatan itu.
"Sebarang ulasan (mengenai kehadiran kapal pengawal
pantai China) akan dibuat oleh pihak kementerian yang berkaitan," katanya.
Beting Patinggi Ali adalah gugusan batu karang yang terletak
di perairan utara Sarawak dan berada di dalam zon ekonomi eksklusif (ZEE)
Malaysia.
Gugusan batu karang itu antara kawasan yang dituntut oleh
China melalui tuntutan 9-Dash Line di Laut China Selatan.
Pada Julai tahun lalu, Kerajaan Malaysia menegaskan
pendirian untuk menolak tuntutan China di perairan itu melalui surat perwakilan
Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Sumber: bharian