SHAH ALAM – Pemuda UMNO menggesa kerajaan memanfaatkan
sepenuhnya kuasa di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 untuk
memastikan institusi perbankan dan kewangan negara menawarkan moratorium 2.0
tanpa caj atau faedah tambahan selama tiga bulan secara automatik.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mencadangkan
tujuh rasional dan justifikasi ekonomi kewajaran moratorium 2.0 berkenaan.
Menurutnya, perkara itu bertujuan meringankan beban rakyat
sekali gus menjamin ketenangan dan kesihatan mental mereka sepanjang menjalani
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Berikut adalah cadangan yang dikemukakan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki:
Join Telegram Kami 👉
Rasional Dan Justifikasi Pertama
“Pertama memastikan keupayaan tunai rakyat tidak terjejas
akibat pelaksanaan ‘total lockdown’ sehingga menyebabkan ekonomi negara
terjejas teruk akibat penurunan drastik perbelanjaan isi rumah terutama
pembiayaan keperluan asas seperti makanan, tempat tinggal dan utiliti.
“Ramai yang berhadapan dengan masalah tunai akibat simpanan
yang merosot teruk berbanding PKP 1.0 dahulu,” katanya menerusi kenyataan pada
Jumaat.
Rasional Dan Justifikasi ke-2
Tambahnya, rasional dan justifikasi kedua ialah penangguhan
bayaran ansuran pinjaman bank juga dapat mengelakkan muflis akibat kejatuhan
teruk pendapatan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS), golongan
bekerja sendiri dan isi rumah yang tiada pendapatan tetap termasuk golongan
M40.
Rasional Dan Justifikasi ke-3
“Ketiga, fenomena muflis dalam kalangan rakyat akibat
pendapatan yang terjejas dan ketidakupayaan membayar ansuran pinjaman atau
pembiayaan bank akan menyebabkan kerosakan teruk kepada ekonomi negara
sekaligus memberi kesan langsung terhadap operasi dan tahap kestabilan
institusi perbankan dan kewangan tempatan.
Rasional Dan Justifikasi ke-4
“Keempat, penawaran moratorium mampu menjamin kestabilan
sistem kewangan sekaligus mengelakkan bank-bank berhadapan dengan fonomena
ketidakupayaan pelanggan membayar balik hingga membawa kepada peningkatan kadar
pinjaman tak berbayar,” katanya.
Rasional Dan Justifikasi ke-5
Asyraf berkata, bagi rasional dan justifikasi kelima ialah
keupayaan institusi perbankan tempatan menyerap sebarang potensi kejutan
pasaran masih berada pada tahap yang kukuh sebagaimana piawai antarabangsa dan
Bank Negara Malaysia (BNM).
Rasional Dan Justifikasi ke-6
“Keenam, tahap kecairan bank tempatan juga berada dalam
keadaan yang sihat berdasarkan laporan Tahap Liputan Kecairan BNM bagi sistem
perbankan negara iaitu pada 145.1 peratus dan melebihi keperluan minimum 100
peratus walaupun melaksanakan moratorium 1.0 ketika PKP 1.0,” katanya.
Rasional Dan Justifikasi ke-7
Menurut Asyraf, rasional dan justifikasi ketujuh ialah
pelaksanaan moratorium 1.0 yang terdahulu juga ternyata tidak menjejaskan
keupayaan institusi perbankan menjana keuntungan.
“Bank-bank tempatan baru mengumumkan keuntungan selesa bagi
Suku Pertama Tahun 2021 seperti Maybank (RM2.39 bilion), Public Bank (RM1.53
bilion), Hong Leong Bank (RM2.17 bilion), RHB Bank (RM650.39 juta), Bank Islam
(RM202.46 juta) dan Affin Bank (RM68.94 juta),” katanya.
Menurutnya, di samping tujuh rasional dan justifikasi berkenaan,
pihaknya menggesa kerajaan mengarahkan agensi pembiayaan dan kredit milik
kerajaan yang memberi fokus kepada golongan B40 dan perusahaan mikro seperti
Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tekun Nasional (Tekun), Amanah Ikhtiar Malaysia
(AIM) dan SME Bank melaksanakan moratorium kepada peserta program mereka.
Sumber: sinarharian