KUALA LUMPUR: Kerajaan akan
mengumumkan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang terkesan
susulan pelaksanaan 'total lockdown' atau penutupan penuh Fasa Pertama bermula
Selasa ini.
Pejabat Perdana Menteri
memaklumkan, pakej bantuan itu sedang diperincikan Kementerian Kewangan dan
akan diumumkan tidak lama lagi.
Join Telegram Kami 👉
"Susulan keputusan kerajaan
untuk melaksanakan penutupan penuh sektor ekonomi dan sosial, Kementerian
Kewangan akan memperincikan pakej bantuan kepada rakyat dan sektor ekonomi yang
terkesan.
"Pengumuman mengenai pakej
bantuan ini akan dibuat dalam masa terdekat," kata Pejabat Perdana Menteri
dalam satu kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Pejabat Perdana
Menteri mengumumkan pelaksanaan 'total lockdown' Fasa Pertama menerusi
penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi di seluruh negara selama 14 hari,
bermula Selasa ini hingga 14 Jun depan.
Menerusi penutupan penuh itu,
semua sektor tidak dibenarkan beroperasi kecuali sektor ekonomi dan
perkhidmatan perlu yang akan disenaraikan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Jika perintah penutupan penuh
Fasa Pertama berjaya mengurangkan jumlah kes, ia akan disusuli pelaksanaan Fasa
Kedua selama empat minggu, yang membenarkan pembukaan semula beberapa sektor
ekonomi yang tidak membabitkan perhimpunan besar serta boleh mematuhi
penjarakan fizikal.
Ia kemudian disusuki pelaksanaan
Fasa Ketiga, iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti berkuat kuasa
ketika ini, di mana aktiviti sosial tidak dibenarkan dan hampir semua sektor
ekonomi dibenarkan beroperasi tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP)
ketat serta kehadiran secara fizikal di tempat kerja yang dihadkan.
Keputusan untuk beralih dari satu
fasa ke fasa yang berikutnya akan tertakluk kepada penilaian risiko oleh
Kementerian Kesihatan (KKM), berdasarkan perkembangan kes harian semasa dan
kapasiti hospital di seluruh negara untuk merawat pesakit COVID-19.
Mengulas lanjut, Pejabat Perdana
Menteri menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan sistem kesihatan awam di
Malaysia tidak akan runtuh, dan pelbagai sokongan dan bantuan akan diberikan
kepada KKM untuk meningkatkan kapasiti hospital di seluruh negara.
Selain itu, katanya, kerajaan
juga akan meningkatkan jumlah pemberian vaksin dalam tempoh beberapa minggu
akan datang dalam usaha untuk menghasilkan imuniti kelompok di negara ini.
"Semua rakyat Malaysia
dinasihatkan untuk terus berdisiplin dan sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan
bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19.
"Yang terbaik ialah duduk di
rumah atau 'stay at home' untuk bersama-sama melandaikan lengkuk jangkitan
COVID-19," katanya.
Sumber: bharian