Kementerian Kesihatan (KKM) mencadangkan pergerakan merentas
negeri bagi sambutan Aidilfitri tahun ini, ditangguhkan susulan situasi
penularan COVID-19 masih membimbangkan ketika ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia
berikutan rungutan dan rayuan pelbagai pihak supaya kerajaan menangguhkan
kebenaran pergerakan berkenaan.
Malaysia mencatat 1,889 jangkitan baharu COVID-19, semalam,
meningkat berbanding 1,767 kes, kelmarin.
Ditanya kemungkinan mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19
dibenarkan untuk merentas negeri pula, Dr Adham berkata, pihaknya masih
menunggu dapatan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Pusat Kawalan dan
Pencegahan Penyakit yang berpangkalan di Amerika Syarikat, sebelum keputusan
berkaitan dibuat.
"Kita masih menunggu dapatan itu untuk mendapatkan
keputusan sama ada perkara ini boleh dibenarkan," katanya.
Sementara itu, Dr Adham memaklumkan, pihaknya menerima aduan
berhubung kegagalan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dikesan di
beberapa lokasi bazar Ramadan seluruh negara.
Beliau menegaskan, kerajaan memandang serius perkara itu dan
tidak menolak kemungkinan bazar Ramadan akan ditutup jika wujud kluster baharu
yang dipercayai daripada aktiviti bazar.
"Kalau kluster bazar wujud, kita (KKM) akan melakukan
siasatan melalui rekod aplikasi MySejahtera untuk mendapatkan punca yang tepat.
Mudah bagi kita mengesan punca atau tempat bermula jangkitan.
"Jika penganjur didapati tidak bertanggungjawab, kita
tidak akan teragak-agak mengenakan kompaun," katanya.
Mengenai kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenakan
kompaun terhadap individu yang gagal mematuhi SOP, beliau berkata, lantikan
bawah Seksyen 25 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342)
itu bertujuan memastikan tahap pematuhan SOP di bazar Ramadan adalah tinggi.
Berkuat kuasa semalam, KKM menurunkan kuasa kepada Datuk Bandar, Yang Dipertua PBT dan pegawai penguat kuasa PBT Gred 19 ke atas, untuk mengkompaun kesalahan bawah Akta 342, termasuk sebarang ketidakpatuhan SOP di bazar Ramadan. – BERNAMA
Artikel penuh di bharian.com.my
Sumber: bharian