
KUALA LUMPUR: Kerajaan mengekalkan Selangor, Kuala Lumpur,
Johor, Pulau Pinang dan Kelantan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat
(PKPB) sehingga 14 April ini, manakala Sarawak sehingga 12 April.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,
berkata walaupun secara keseluruhan trend penularan COVID-19 menurun tetapi ada
beberapa negeri menunjukkan status turun naik dan peningkatan kes.
"Enam negeri masih dikekalkan status PKPB iaitu
Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.
"Pengekalan status PKPB di negeri Semenanjung berkuat
kuasa mulai 1 April hingga 14 April kecuali Sarawak yang akan bermula hari ini
hingga 12 April," katanya dalam sidang media harian COVID-19 di sini, hari
ini.
Katanya, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan
kecuali bagi mereka yang mengikuti pelan gelembung pelancongan untuk negeri di
bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sahaja.
"Kerajaan turut mengekalkan status PKPP di 10 negeri
dan Wilayah Persekutuan iaitu Perlis, Kedah, Perak, Putrajaya, Melaka, Negeri
Sembilan, Pahang, Terengganu, Sabah dan Labuan untuk tempoh sama iaitu mulai
esok hingga 14 April.
"Pergerakan rentas daerah dibenarkan di semua negeri
PKPB dan PKPP kecuali Sabah dan Sarawak kerana ia bergantung keputusan kerajaan
negeri," katanya.