Kerajaan Sabah akan memantau perkembangan pengagihan bakul
makanan di negeri itu dalam memastikan bekalan tiba kepada golongan sasaran.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat
Sabah, Ir Shahelmey Yahya berkata, meskipun terdapat sedikit kerumitan
pengagihan bakul makanan sebelum ini, tindakan pantas akan dilakukan bagi
mengatasi masalah itu dari semasa ke semasa.
Katanya, penerima bantuan juga dari kalangan penerima eKasih
di Sabah dengan jumlah seramai 81,000 orang.
"Kita faham daripada pengalaman September hingga
Disember tahun lalu, ada sedikit kelewatan agihan bakul makanan ini yang
dipercayai berpunca daripada alamat yang tidak tetap, nombor perhubungan
berubah.
"Itu adalah antara cabaran yang kita hadapi dan kita
sentiasa berfikir serta berusaha menambah baik sistem agihan bakul makanan
kepada semua golongan sasar," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan rapat
proses pengagihan bakul makanan 2.0 di empat Pusat Kawalan Operasi Bencana
(PKOB) melibatkan daerah Papar, Putatan, Kota Kinabalu dan Penampang.
Mengulas mengenai situasi terkini pengagihan tersebut,
Shahelmey berkata, pihaknya berpuas hati dengan persediaan dilakukan.
Sumber : AstroAwani