Kewangan Sabah Kukuh Peninggalan Warisan Kepada GRS - Ketua Audit
Kedudukan kewangan kerajaan negeri Sabah bagi tahun berakhir
31 Disember 2019 secara keseluruhannya adalah stabil, demikian menurut Laporan
Ketua Audit Negara (LKAN) yang dikeluarkan hari ini.
Laporan itu menyatakan Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan
Negeri mencatatkan penurunan sebanyak RM521.59 juta atau 13.8 peratus kepada
RM3.253 bilion pada 2019 berbanding RM3.774 bilion 2018.
Bagi akaun Hasil Disatukan, ia mencatatkan lebihan berjumlah
RM214.24 juta, meningkat sebanyak RM151.66 juta atau RM242.3 peratus berbanding
lebihan pada 2018 yang berjumlah RM62.58 juta.
“Pada 2019, hasil yang dikutip oleh kerajaan negeri
berjumlah RM4.264 bilion iaitu meningkat RM105.46 juta atau 2.5 peratus
berbanding kutipan hasil pada 2018 yang berjumlah RM4.159 bilion,” kata laporan
berkenaan.
LKAN itu turut maklum pada tahun 2019, sejumlah RM974.43 juta perbelanjaan
pembangunan diluluskan dan sejumlah RM810.40 juta telah dibelanjakan.
Sementara itu, daripada 760 projek yang dirancang, 99 projek
telah siap dilaksanakan, 445 sedang dilaksanakan dan 216 belum dilaksanakan,
kata LKAN.
Baki Pinjaman Boleh Dituntut pula meningkat RM3.88 juta atau
0.3 peratus daripada RM1.203 bilion pada 2018 kepada RM1.207 bilion pada 2019.
“Bagaimanapun, pihak audit tidak dapat mengesahkan baki
tunggakan kerana terdapat perbezaan baki tunggakan yang dinyatakan pada dokumen
sokongan,” jelas laporan itu.
Jumlah hutang awam pula menurun sebanyak RM1.050 bilion atau
27.7 peratus kepada RM2.744 bilion berbanding RM3.794 bilion pada 2018.
“Pada akhir 2019, tunggakan hasil negeri mencatatkan
peningkatan sebanyak RM18.84 juta atau 3.7 peratus kepada RM527.64 juta
berbanding tunggakan 2018 sejumlah RM508.80 juta,” kata laporan audit
berkenaan.
Laporan itu turut menyatakan sebanyak 39 daripada 45 agensi negeri telah mengemukakan penyata kewangan yang berakhir 31 Disember tahun lalu.
Sumber : Facebook ~ Dato' Mohd Azis Bin Jamman
No comments: