Kerajaan perlu pertimbang wujudkan undang-undang anti lompat parti - Majlis Peguam - InfoMalaysiaKini

Breaking

Friday, 30 October 2020

Kerajaan perlu pertimbang wujudkan undang-undang anti lompat parti - Majlis Peguam

 


Majlis Peguam Malaysia sekali lagi menggesa kerajaan agar mempertimbangkan penggubalan undang-undang anti lompat parti semasa persidangan Dewan Rakyat yang akan datang bagi menghalang ahli parlimen daripada beralih parti.

 

Presidennya Salim Bashir berkata ini kerana Malaysia telah berdepan beberapa pergolakan politik yang serius sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

 

"Namun turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan kita di bawah Perkara 10(2) ialah Parlimen, melalui undang-undang, boleh mengenakan sekatan yang dianggap perlu atau bermanfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana-mana bahagian daripadanya, ketenteraman awam atau moral.

 

 

"Kami berpendapat bahawa beralih parti selepas diundi rakyat merupakan satu pengkhianatan terhadap kepercayaan yang diberikan kepada mereka. Perlakuan sedemikian adalah politik yang tidak beretika dan perlu dielak bagi memelihara struktur demokratik di negara kita," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

 

Beliau berkata undang-undang anti lompat parti adalah mustahak untuk memperkukuh kestabilan politik dan kepercayaan umum terhadap proses demokratik selain tidak menjejaskan keputusan yang dibuat oleh pengundi.

 

 

Justeru itu, tindakan melompat parti atau berpaling tadah sama ada di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen seharusnya dijadikan sebagai satu perbuatan yang tidak sah bagi memelihara kedaulatan undang-undang dan integriti perlembagaan, katanya.


Sumber : Astro Awani

No comments:

Post a comment